
WASHINGTON, Amerika Syarikat: Pesawat eksperimen Solar Impulse 2, yang melengkapkan penerbangan keliling dunia bersejarah pada 2016 tanpa menggunakan bahan api jet, dilaporkan terhempas ke Teluk Mexico baru-baru ini, menurut pemiliknya.
Dikendalikan oleh juruterbang Switzerland, Bertrand Piccard dan Andre Borschberg, Solar Impulse 2 mengelilingi dunia dalam 17 peringkat, merangkumi jarak luar biasa 26,700 batu (43,000 kilometer) merentasi empat benua, dua lautan dan tiga laut, dalam tempoh 23 hari penerbangan tanpa menggunakan setitik bahan api.
Tiga tahun selepas penerbangan mengelilingi dunia itu, pesawat berkuasa solar tersebut dijual kepada Skydweller Aero, yang kemudiannya menukarkannya kepada dron untuk melaksanakan “pendaratan terkawal ke air (controlled ditching),” menurut kenyataan akhbar syarikat itu pada Selasa.
Skydweller Aero berkata Solar Impulse 2 berlepas dari Stennis, Mississippi pada 26 April tetapi terhempas ke Teluk Mexico pada 4 Mei.
“Pada akhirnya, penerbangan memecahkan rekod selama 8 hari dan 14 minit itu membuktikan realiti penerbangan berkuasa solar secara berterusan dalam persekitaran yang relevan untuk misi ketenteraan,” kata syarikat itu, merujuk kepada latihan Tentera Laut Amerika Syarikat yang melibatkan pesawat berkenaan.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) berkata pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut. – AFP