
GENEVA, Switzerland: ‘Ocean Dream,’ berlian biru-hijau terbesar pernah direkodkan, dijual pada harga AS$17 juta (RM81 juta) dalam satu lelongan semalam, menurut rumah lelong Christie’s.
Berlian seberat 5.5 karat itu ditemui di sebuah lombong di Afrika Tengah pada 1990-an dan dinamakan oleh Institusi Smithsonian sebagai antara lapan berlian paling langka di dunia, kata Christie’s dalam kenyataan yang mengumumkan jualan tersebut.
“Batu permata dengan warna dan saiz seperti ini amat sukar ditemukan, dan yang menjadikannya lebih istimewa ialah berlian ini daripada jenis Ia, antara permata semula jadi paling tulen,” menurut kenyataan itu.
Ketua global barang kemas Christie’s, Max Fawcett berkata, berlian hijau semula jadi melebihi satu karat amat jarang ditemukan.
“Menemukan berlian lima karat dengan kualiti dan warna seperti ini benar-benar luar biasa,” katanya.
Berlian biru-hijau terang itu berbentuk segi tiga dan menurut Fawcett, bersaiz “sebesar kuku jari paling kecil anda”.

Ia dijual pada harga 13.6 juta franc Swiss (AS$17.3 juta), sekali gus mencipta rekod baharu bagi berlian biru-hijau yang dilelong.
“Kami pernah menjual batu ini pada 2014 dengan harga AS$8.5 juta. Ia dibeli oleh seorang pengumpul persendirian dari Asia yang amat menghargainya dan pernah memakainya,” katanya.
Lelongan semalam menyaksikan tiga pembida dari pelbagai negara bersaing mendapatkan permata itu, namun pemenangnya memilih untuk kekal tanpa nama, kata Fawcett.
Menurut Christie’s, permata itu pada asalnya dipotong daripada batu kasar seberat 11.70 karat.
Ia kemudian dipamerkan di Muzium Sejarah Semula Jadi Institusi Smithsonian di Washington, DC pada 2003 sempena pameran Splendor of Diamonds.
Pameran itu menampilkan berlian merah, jingga, kuning, merah jambu, biru, biru-hijau dan putih, termasuk Moussaieff Red seberat 5.11 karat serta De Beers Millennium Star seberat 203.04 karat. – AFP