PETRA JAYA: Penjawat awam Sarawak yang telah bersara disaran agar terus memberi sumbangan berharga dalam pelbagai kapasiti dengan memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan yang diperoleh sepanjang perkhidmatan mereka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun tidak lagi aktif dalam tugas rasmi, mereka masih memiliki potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan wilayah ini melalui pelbagai saluran.
Menurutnya, pengalaman yang mereka miliki adalah aset yang tidak ternilai dan ia dapat terus memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh usaha bersama untuk mencapai kemajuan yang lebih gemilang bagi Sarawak.
“Saya percaya bahawa mereka yang telah bersara ini telah merasai manfaat daripada kerja yang telah dilaksanakan, kerana impaknya yang besar dalam kehidupan kita semua.
“Kita bersama-sama mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran yang akan datang.
“Bagi pihak kerajaan Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas perkhidmatan yang telah diberikan dan selamat bersara. Semoga anda juga menjadi contoh teladan kepada mereka yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam tadi.
Pada majlis itu, seramai 12 pegawai kanan kerajaan yang bersara pada 2023 dan 2024 diraikan.
Antaranya ialah bekas Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datu Edwin Abit; bekas Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datu Ismail Mohamad Hanis; bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak, Datu Ir. Lau Hieng Ung; bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datu Azmi Bujang serta bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Alexander Unya Ambon.
Turut diraikan ialah bekas Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain, Datu Jack Aman Luat; bekas Residen Pentadbiran Bahagian Miri, Jamalie Busri; bekas Pegawai Daerah Marudi, Belayong Pok; bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan negeri, Dato’ Alice Jawan Empaling; bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Noriah Ahmad; bekas Pegawai Daerah Pantu, Langgong Wasam dan bekas Pegawai Daerah Pusa, Bujang Ladi.
Abang Johari turut menyampaikan cenderamata kepada kesemua pegawai bersara tersebut ditemani Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.