KOTA SAMARAHAN: Sarawak maju selangkah lagi dalam usaha memerangi penyakit berjangkit apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan sebuah pusat penyelidikan yang pembinaannya akan dimulakan, tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pusat penyelidikan yang bertaraf antarabangsa itu, akan dibina berdekatan Pusat Jantung Sarawak, di sepanjang Koridor Kuching-Samarahan di sini.
“Pembangunan pusat ini adalah untuk memastikan kesiapsiagaan Sarawak dalam mempelopori usaha memerangi wabak pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksinasi (PPV) COVID-19 di kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.
Ketua Menteri mengumumkan rancangan untuk membangun pusat itu pada 24 November tahun lepas dan telah diluluskan oleh Kabinet Sarawak Februari lepas, dengan barisan pakar dari UNIMAS dan institusi antarabangsa lain akan terlibat dalam pembangunan pusat berkenaan.
“Ia akan dilengkapi dengan peralatan canggih dan makmal Bio-Safety Level 3 (BSL-3) untuk membolehkan penyelidikan dan pembangunan agen berjangkit BSL-3 dan seterusnya menguji produk untuk memastikan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pengembangan,” katanya.
Abang Johari berkata, projek itu akan dimulakan segera memandangkan keperluan mendesak terhadap pusat berkenaan yang diharapkan dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun dengan institusi penyelidikan perubatan tertentu, termasuk dari Singapura akan dijadikan model rujukan untuk permbinaan pusat berkenaan.
Menuru beliau, pusat itu juga akan saling melengkapi dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani penyakit berjangkit di Sarawak melalui pengumpulan bakat-bakat dari peringkat serantau dan antarabangsa.
“Pusat ini juga diharap dapat menarik kedatangan syarikat bioperubatan global untuk memastikan Sarawak bersedia menghadapi cabaran masa depan, selain memberi peluang kepada rakyat Sarawak yang berbakat untuk berkhidmat kepada negeri sekali gus dapat memacu pengembangan modal insan dalam bidang sains bioperubatan,” tambahnya. – Bernama