KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, telah meluluskan sumbangan bernilai RM135,000 kepada mangsa kebakaran di Rumah Paulus Yan, Sungai Bawan baru-baru ini.
Sumbangan tersebut melibatkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000, dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM120,000.
Selain itu, Anyi turut menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Aaron, Bawan.
“Terima kasih kepada semua pihak, termasuk agensi kerajaan, swasta, syarikat, dan orang awam, yang telah menghantar pelbagai bentuk bantuan seperti makanan, pakaian, dan keperluan lain.
“Ini mencerminkan rasa simpati dan semangat perpaduan yang tinggi dalam masyarakat kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pihak Bomba, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan agensi-agensi lain atas usaha menjaga keselamatan serta keselesaan mangsa.
Turut hadir pada majlis penyampaian sumbangan ialah Timbalan Pengerusi PRS Ngemah Ramba Resang bersama Penghulu Lembat, Penghulu Pree, pegawai dari Jabatan Premier, pegawai Pusat Khidmat Ngemah, dan tuai-tuai rumah.