PADAWAN: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM120,000 untuk kawasan DUN Mambong bagi melaksanakan program ‘Agriculture Community Outreach’ (AgriCOP).
Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Mambong, Datuk Dr.Jerip Susil berkata, kawasan Mambong telah mengenal pasti kopi sebagai tanaman fokus.
“Bengkel AgriCOP amat bersesuaian kerana tanaman kopi secara berkelompok seperti kluster kopi amat memerlukan kemahiran dan pengetahuan teknikal pertanian yang kukuh agar tanaman kopi yang dibangunkan dapat mengeluarkan hasil yang baik.
“Dianggarkan lebih 3,000 hektar tanah di kawasan DUN Mambong dikenalpasti sesuai untuk tanaman kopi.
“Malah, setakat ini, sebanyak 177 orang telah menghantar permohonan projek kopi dan melibatkan kawasan seluas 100 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program AgriCOP di Kampung Assum, Padawan, pada Sabtu.
Beliau menambah bagi melancarkan projek tanaman kopi, semua pemohon atau pemilik tanah perlu membuat dokumentasi tanah dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak melalui Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA).
“Sebuah Pusat Pengumpulan Kopi juga telah dirancang bagi mengalakkan tanaman kopi di DUN Mambong,” katanya.