SIBU: Bangunan Pasar Taman Rejang akan diroboh bagi membina bangunan serba baharu dengan pelbagai ciri menarik.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, ciri-ciri baharu seperti pembinaan dewan komuniti serta bangunan lebih tinggi.
“Pada awalnya, perancangan asal kita adalah untuk menaik taraf bangunan Pasar Taman Rejang dengan bajet sejumlah RM750,000.
“Namun, selepas beberapa kali berbincang dengan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), kita merasakan kerja-kerja menaik taraf sahaja tidak mencukupi dalam era kini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Taman Rejang, petang semalam.
Mengulas lanjut, Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, bangunan baharu Pasar Taman Rajang akan dibina lebih tinggi bagi memaksimumkan penggunaan tanah di tapak sedia ada.
“Kita harus mempunyai pemikiran seperti orang Singapura atau Hong Kong menggunakan sebidang tanah dengan sepenuhnya.
“Kawasan tapak Pasar Taman Rejang ini mungkin kecil, tetapi kita boleh menggunakan kawasan ini dengan sepenuhnya dengan pelbagai ciri baharu,” katanya.
Katanya, pihaknya masih menunggu perunding menghantar cadangan serta idea berhubung pembinaan semula bangunan Pasar Taman Rejang berusia 40 tahun itu.
“Kita biarkan mereka yang pakar berurusan dengan pelan atau membuat perancangan. Saya hanya tampil dengan cadangan dan biar mereka yang pakar melaksanakan selanjutnya,” kata beliau.
Menurutnya, ketika ini Pasar Taman Rejang menjadi sepi pada sebelah petang tanpa banyak aktiviti atau perniagaan.
“Keadaan berbeza dengan Pasar Sungai Merah yang baharu masih penuh dengan pelanggan pada sebelah petang dan malam sekali gus mewujudkan waktu perniagaan baharu di tempat tersebut.
“Oleh itu, kita mahu membuat perkara yang sama di Pasar Taman Rejang ini bagi membawa aktiviti ekonomi baharu serta menjadikan kawasan ini berbeza berbanding sebelumnya.
“Namun kawasan ini menghadapi masalah kekurangan tempat parkir dan kita akan selesaikan masalah itu dengan kaedah baharu,” kata beliau.
Oleh Akun Giman