LIMBANG: Penjaja dan peniaga kecil merasa kecewa apabila minyak masak paket ‘ghaib’ di pasaran.
Peniaga mendakwa barang kawalan itu sukar ditemui dipercayai hampir dua bulan lepas.
Ini menyukarkan mereka khususnya peniaga kuih muih yang bergantung kepada bekalan tersebut untuk menjalankan perniagaan mereka.
Tinjauan di gerai bangunan Tamu Limbang di sini hari ini mendapati, rak minyak masak hanya dipenuhi dengan minyak masak jenis botol.
Seorang peniaga kuih muih dan cucur,di kawasan itu Ibrahim Tapa berkata ketiadaan minyak masak peket itu membebankan peniaga kecil seperti beliau.
Katanya lagi, dia terpaksa mengeluarkan belanja sekitar RM48 sehari untuk membeli minyak masak botol selepas minyak masak paket ghaib dipasaran sejak dua bulan lalu.
“Sebagai peniaga kuih muih dan cucur, kami memerlukan lapan kilogram minyak masak sehari untuk mengoreng cucur dan kuih muih lain.
“Untuk sebulan kami memerlukan 200 kilogram penggunaan minyak masak bagi menjalankan operasi menjual kuih muih dan cucur goreng.
“Dalam tempoh sebulan juga kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira lebih RM1,200 untuk membeli minyak masak jenis botol saja,”katanya kepada media, hari ini.
Jumlah itu belum termasuk kos kenaikan yang ditanggung peniaga seperti mereka.
Jelasnya lagi, jika minyak masak peket itu ada di pasaran,mereka hanya berbelanja RM500 sebulan untuk membeli minyak masak paket.
“Saya minta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Limbang memantau perkara ini dengan harapan ia tidak berlanjutan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kepada kementerian itu agar peniaga yang berlesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk diberi kuota pembelian minyak masak paket selain memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.
Kebanyakan peniaga di bangunan Tamu Limbang turut senada dengan Ibrahim dan berharap pihak KPDN memantau perkara itu.
Seorang peniaga yang ditemui menjelaskan pada masa ini ejen barang kawalan itu tidak menghantar bekalan minyak masak paket kepada peniaga-peniaga di kawasan itu.
“Saya tidak pasti bila minyak masak paket ada di pasaran, saya dimaklumkan ejen berkenaan tidak menghantar bekalan kepada kami, tidak pasti sampai bila,” dedahnya kepada media.
Oleh Adeng Edrus