Pertunjukkan bunga api di Waterfront Kuching sempena sambutan Hari Malaysia 16 September

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media Mesyuarat Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Kuching.

KUCHING: Pertunjukan bunga api bakal diadakan di Tebingan (waterfront) Kuching berhampiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan di Kuching, 16 September ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sambutan Hari Malaysia tahun ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

SIDANG media Mesyuarat Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Kuching.

Katanya, sambutan itu turut melibatkan tetamu kenamaan dari Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan, antaranya:

  • Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.
  • Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
  • Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama isteri.

Tambahnya, sekitar 5,000 tetamu dijangka menghadiri sambutan di BCCK yang membabitkan institusi pengajian tinggi, veteran, jabatan kerajaan, MPKK, agensi kedua-dua kerajaan serta tetamu dari Sabah.

“Persiapan sambutan yang dilaksanakan oleh jawatankuasa Kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan pusat, kerajaan Sarawak serta agensi lain kini berjalan dengan baik.

“Tahap persiapan sukar dinyatakan dalam bentuk peratusan, namun saya yakin sambutan Hari Malaysia tahun ini akan mencapai matlamatnya,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini.

Mengulas lanjut, raptai sambutan pula dijadualkan seperti berikut:

  • 11 September: Raptai bermula.
  • 12 September: Raptai 1.
  • 13 September: Raptai 2.
  • 14 September: Raptai penuh.
  • 15 September: Raptai teknikal.

“Segmen persembahan pula bakal menampilkan gabungan persembahan artis jemputan, muzikal teater serta persembahan finale yang melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Dayang Nurfaezah, Faizal Tahir, Ramles Walter, Firdaus Materang dan Stacy,” jelasnya.

Sambutan itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi RTM, TVS dan media sosial untuk tontonan rakyat.

Untuk rekod, beberapa program untuk orang awam berkaitan sambutan turut diadakan sepanjang 10 hingga 16 September.

Antaranya ialah pameran di Plaza Merdeka serta Pameran Mini di 10 bahagian Sarawak iaitu Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah, Betong dan Serian.

Selain itu, Jualan Rahmah turut diadakan di luar Plaza Merdeka sepanjang tempoh berkenaan.

Pameran di Plaza Merdeka dibuka kepada orang ramai, manakala kehadiran ke BCCK adalah terhad kepada 5,000 tetamu jemputan.

Dalam pada itu, dua majlis kesyukuran peringkat Sarawak turut dijadualkan iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pada 14 September di Hotel Pullman, Kuching dan Majlis Kesyukuran Umat Islam pada 15 September di Masjid Jamek, Kuching.

Syiling memperingati Hari Malaysia ke-63 edisi terhad turut diperkenalkan buat pertama kali kepada pengumpul syiling.

Oleh Masrin Affirah