SERDANG: Pertubuhan Pengusaha Nanas Sarawak Gold 1 (SG1) Malaysia menyasarkan kawasan penanaman varieti itu diperluas sehingga lebih 5,000 ekar atau kira-kira 2,000 hektar dalam tempoh enam tahun, sebagai usaha memperkukuh pengeluaran dan daya saing industri nanas negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sasaran itu seiring dengan hala tuju industri nanas negara yang ditetapkan oleh kementerian dengan nilai eksport produk nanas disasarkan mencapai 4,000 kontena bernilai RM2 bilion menjelang Januari 2028.
Penubuhan Pertubuhan Pengusaha Nanas SG1 Malaysia dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, penubuhan Pertubuhan Pengusaha Nanas SG1 Malaysia merupakan langkah strategik untuk memperkukuh industri nanas negara melalui penyatuan pengusaha dan penggemblengan usaha secara lebih tersusun.
“Pertubuhan ini akan menjadi platform yang menghubungkan pengusaha dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), agensi kerajaan, institusi penyelidikan, pemain industri, pelabur dan pasaran dengan tumpuan membangunkan industri SG1 dari ladang hingga pasaran eksport serta memastikan hasil pengusaha mempunyai pasaran, nilai dan daya saing,” menurut kenyataan itu.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran semula karya I.H. Burkill bertajuk ‘A Dictionary of the Economic Products of the Malay Peninsula in Two Volumes’ yang asalnya diterbitkan pada 1935, menandakan usaha penting dalam memelihara dan memperkayakan khazanah ilmu berkaitan tumbuhan, haiwan dan sumber mineral yang mempunyai nilai ekonomi.
Edisi yang dikemas kini oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu dilaksanakan di bawah Inisiatif Projek Pemacu Pertanian: Produk Herba Bernilai Tinggi dan menjadi sumber rujukan penting bagi penyelidikan, inovasi, pembangunan industri serta penggubalan dasar agromakanan.
Seiring dengan usaha itu, Persatuan Industri Herba juga sedang dalam proses penubuhan sebagai platform untuk menghimpunkan pemain industri serta memperkukuh pembangunan sektor herba negara.
“Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPKM dalam memperkukuh sektor agromakanan negara melalui pembangunan industri yang dipacu oleh pengusaha melalui pemerkasaan dan inovasi bidang ilmu serta penyelidikan,” menurut kenyataan itu lagi. – Bernama



