APABILA Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963, Indonesia memperhebatkan usaha melemahkan persekutuan itu. Indonesia dan Filipina enggan menerima kenyataan daripada misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa rakyat di kedua-dua wilayah ini menyokong penubuhan Malaysia.
Presiden Sukarno menyatakan usaha untuk memperhebatkan lagi konfrontasi kerana tidak bersetuju dengan dapatan daripada misi PBB tersebut. Pihak Indonesia menghantar ramai tenteranya untuk melakukan pencerobohan sempadan di Sarawak dan Sabah. Pada awalnya pencerobohan sering berlaku di Bahagian Pertama dan Kedua mula menjadi lebih ketara di Bahagian Ketiga.
Sasaran pihak penceroboh ketika itu adalah menyerang kedudukan pasukan keselamatan di Long Jawi. Long Jawi merupakan salah satu kawasan pedalaman yang hanya 30 batu dari sempadan Indonesia. Kawasan tersebut menjadi sasaran utama pihak penceroboh di Bahagian Ketiga.
KEBERADAAN
Aktiviti pencerobohan di Bahagian Ketiga ini dikesan pada malam 26 September 1963. Catatan awal daripada suratkhabar menyatakan bahawa kira-kira 50 orang pihak penceroboh telah menyeberangi sempadan Sarawak. Dalam sumber lain pula menyatakan bahawa dianggarkan seramai 150 hingga 200 penceroboh melakukan penyusupan di sempadan menuju Sungai Balui ke kawasan kampung terpincil di Long Jawi. Ketumbukan penceroboh ini diketuai oleh Mejar Muljono.
Sementara pasukan pertahanan negara yang berada di sana hanyalah sekumpulan kecil pasukan keselamatan. Terdapat satu pos ‘Border Scout’ dibawah pengurusan oleh empat orang anggota Gurka, dua anggota polis hutan yang mengendali radio dan 21 anggota ‘Border Scouts’. Pasukan ini tidak menyedari kehadiran pihak penceroboh di Long Jawi.
PERTEMBUNGAN
Pada 28 September 1963 seorang anggota ‘Border Scout’ telah pergi melawat isterinya yang tidak sihat di rumah panjang di Long Jawi. Semasa dalam perjalanan, beliau terserempak dengan kumpulan penceroboh, dan telah menghubungi serta memberi amaran kepada Cpl Tejbahadur Gurung yang berpusat di kawasan bukit tentang hal ini.
Cpt Tejbahadur kemudiannya meminta dua operator Pasukan Polis Hutan (PPH) untuk menghubungi ibu pejabat di Sibu. Belum sempat beliau kembali ke kawasan bukit, beliau dihujani dengan senjata automatik dan mortar.
Operator Pasukan Polis Hutan yang cuba menghubungi ibu pejabat juga dihujani dengan tembakan. Dalam pertempuran itu seorang anggota Gurkha iaitu Chandrabahadur Gurung telah terkorban. Seorang anggota Pasukan Polis Hutan juga terkorban, manakala seorang lagi polis hutan tersebut yang cedera bahagian kaki sempat melarikan diri dengan dibantu oleh pasukan Gurkha dan ‘Border Scout.’
Serangan pihak penceroboh ini semakin rancak dan menyebabkan ada yang cuba menyelamat diri tetapi telah ditangkap oleh pihak penceroboh. Cpt Tejbahadur dan empat anggota yang lain berusaha untuk mempertahankan diri daripada serangan penceroboh. Selama tempoh dua jam bertahan itu, seorang lagi anggota Gurkha terkorban akibat letupan mortar. Seorang lagi anggotannya cedera bahagian pahanya akibat tembakan mesingan.
PENGUNDURAN
Serangan daripada pihak musuh menyebabkan bekalan peluru mereka hampir kehabisan. Cpt Tejbahadur dan selebih anggota yang terselamat cuba melepaskan kepungan pihak penceroboh. Pasukan mereka terpaksa meninggalkan anggota Gurkha yang cedera untuk mempercepatkan usaha mereka ke Long Linau. Anggota Gurkha yang cedera tersebut bernama Kharkabahadur telah disembunyikan bagi mengelak ditawan pihak penceroboh. Selepas dua hari perjalanan akhirnya mereka sampai di Long Linau. Mereka kemudian pergi ke Belaga untuk melaporkan kejadian di Long Jawi.
Dilaporkan dalam pertempuran yang dikatakan berlangsung selama sembilan jam, telah membawa kesan kepada kedua-dua pihak. Ia bermula pada pagi subuh sehingga sekitar jam 3.00 petang seperti dilaporkan oleh pihak surat khabar. Seramai 22 orang anggota pihak penceroboh telah terbunuh, manakala di pihak pasukan keselamatan pula seramai enam orang tentera British telah terkorban. Beberapa orang pula telah mengalami kecederaan.
SOKONGAN
Dalam usaha membenteras saki baki pihak penceroboh di sempadan Sarawak ini, maka pihak British telah bertindak meninjau dan meronda kawasan kejadian dan sekitarnya. Dalam hal ini Mejar John Mole dan satu platun dari C Company telah dihantar ke Long Jawi dengan menggunakan tiga helikopter. Apabila tiba di Long Jawi, pihak penceroboh dibawah Mejar Muljono dengan pasukannya telah kembali ke kem persembunyian mereka. Sampainya pasukan Mole di Long Jawi, kawasan tersebut telah ditinggalkan dan dijarah. Mereka sempat menyelamat Kharkabahadur yang bersembunyi daripada pihak musuh.
Selepas itu usaha telah diteruskan untuk mengempur pihak penceroboh yang menyerang Long Jawi. Pada 1 Oktober 1963, pasukan diketuai oleh Gukhka menyerang hendap pihak penceroboh. Setakat awal Oktober, seramai 32 penceroboh telah terbunuh.
PERSEDIAAN
Pengajaran yang didapati dalam pertempuran di Long Jawi ini adalah, pihak penceroboh lebih berani dalam melakukan serangan. Sebelum ini serangan lebih kepada tembak dan lari tetapi kejadian di Long Jawi agak berlainan kerana pihak penceroboh rela bertempur, berdepan dengan pihak kerajaan Malaysia. Malah penemuan pada pihak lokasi penceroboh yang terbunuh berupa radio dan kawat menunjukkan mereka telah bersedia dalam pertempuran tersebut.
Hal ini memyebabkan pihak berkuasa di Malaysia mula memperhebatkan usaha menangani kemaraan mereka di sempadan Sarawak. Dalam hal ini ada cadangan untuk menubuh pasukan Wataniah di kampung-kampung. Serangan ke atas Long Jawi ini merupakan sebahagian daripada usaha melemahkan pembentukan Malaysia yang baru sahaja beberapa hari dibentuk. Namun demikian cabaran ini tidak pernah mematikan semangat penduduk Sarawak untuk mempertahankan wilayah dan kedaulatannya. Hasilnya Malaysia tetap berdiri dan utuh sehingga ke hari ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa(SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).