TUNTUTAN Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah menjadi isu tertangguh selama lebih enam dekad, dan penangguhan ini telah membawa kepada ketegangan politik antara negeri-negeri di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak, dengan Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu, kejayaan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10 (PMX) dalam menyelesaikan tujuh daripada 11 tuntutan MA63 dilihat sebagai langkah besar yang menunjukkan komitmen politik untuk memperbaiki hubungan persekutuan-negeri dan memenuhi janji-janji yang telah lama tertunda.
Bagaimanapun, persoalan utama yang timbul adalah mengapa isu ini gagal diselesaikan oleh pentadbiran terdahulu dan bagaimana PMX berjaya mencapai kemajuan dalam masa dua tahun pemerintahannya. Selain itu, faedah politik dan ekonomi yang diperoleh oleh PMX perlu dianalisis secara kritis dalam konteks lebih luas melibatkan autonomi Sabah dan Sarawak serta pembaharuan ekonomi yang seimbang antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
PENYELESAIAN BELUM SEPENUHNYA
Tuntutan MA63 bukanlah perkara baharu dalam politik Malaysia. Ia seringkali menjadi topik perbincangan semasa pilihan raya, dengan pemimpin-pemimpin politik di Sabah dan Sarawak menuntut autonomi yang lebih besar, terutama dalam hal pengurusan sumber asli, perkhidmatan awam, dan pembangunan infrastruktur. Bagaimanapun, pentadbiran terdahulu sering dikritik kurang berjaya menyelesaikan isu-isu ini disebabkan oleh beberapa faktor utama.
Pertama, terdapat keengganan politik dari pihak Kerajaan Pusat terdahulu untuk memenuhi tuntutan ini, kerana ia dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan kuasa pusat. Autonomi yang lebih besar bagi Sabah dan Sarawak mungkin bermakna Kerajaan Persekutuan perlu menyerahkan lebih banyak kawalan ke atas perkara penting seperti hasil minyak dan gas, serta pelaksanaan projek infrastruktur.
Hal ini akan mengurangkan kebergantungan negeri-negeri ini kepada Kerajaan Pusat, seterusnya mengurangkan pengaruh politik pusat ke atas mereka.
Langkah Datuk Seri Najib Razak yang memulakan layanan beberapa tuntutan oleh Sarawak misalnya terserlah apabila keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 yang semakin kurang memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), apabila gabungan Pakatan Rakyat memperoleh 87 kerusi parlimen dan peningkatan undi popular pembangkang mencecah 50.87 dan pembangkang semakin meningkat perolehan kerusi parlimen. Justeru, projek Lebuh Raya Pan Borneo ialah sebahagian daripada aku janji dalam manifesto BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan sokongan Sabah dan Sarawak dianggap sebagai deposit tetap BN.
Kedua, tuntutan ini sering kali dilihat sebagai perbincangan yang ‘berlarutan’ tanpa penyelesaian konkrit kerana ketiadaan konsensus politik. Sabah dan Sarawak sering kali mempunyai permintaan yang berbeza bergantung kepada siapa yang memerintah, sama ada kerajaan negeri atau persekutuan.
Ketika era Pehin Sri Adenan Satem misalnya, tidak kedengaran isu hak mengenai kuasa mengutip duti setem atau cukai yang perlu dibayar ketika membuat perjanjian jual beli rumah di Sarawak. Perkara ini menjadikan usaha untuk mendapatkan penyelesaian menyeluruh menjadi lebih sukar.
USAHA PENYELESAIAN
Kepemimpinan Anwar Ibrahim telah berjaya menyelesaikan tujuh daripada 11 tuntutan MA63 dalam masa dua tahun, suatu pencapaian yang perlu dihargai, lebih-lebih lagi apabila isu ini tertangguh sekian lama. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini.
Pertama, iklim politik yang lebih kondusif mungkin memainkan peranan penting. Anwar memimpin dalam keadaan politik yang memerlukan sokongan dari Sabah dan Sarawak untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Persekutuan.
Dengan jumlah kerusi yang dimenangi parti-parti dari Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum, maka PMX memahami kepentingan memenuhi tuntutan mereka untuk mendapatkan sokongan berterusan.
Kedua, pendekatan pragmatik dan berorientasikan keputusan oleh PMX mungkin memudahkan rundingan dan penyelesaian isu ini. PMX kelihatan lebih bersedia untuk mendengar dan memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak berbanding pentadbiran terdahulu kerana beliau memahami pentingnya memastikan hubungan persekutuan-negeri yang lebih baik untuk kestabilan politik dan ekonomi negara.
MANFAAT POLITIK
Selain sokongan undi dari Sabah dan Sarawak, menyelesaikan tuntutan MA63 memberikan beberapa manfaat politik yang lebih besar untuk PMX. Dengan menyelesaikan isu yang telah lama tertangguh ini, PMX dapat memperoleh pengiktirafan sebagai pemimpin yang responsif terhadap masalah negeri-negeri Malaysia Timur. Aspek ini bukan sahaja memberi beliau legitimasi politik, tetapi juga membina imejnya sebagai seorang pemimpin yang komited terhadap prinsip keadilan dan memperkukuhkan autonomi.
Penyelesaian tuntutan MA63 juga membantu memperbaiki hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Langkah ini penting kerana ketegangan politik antara pusat dan Sabah serta Sarawak sering kali menjadi penghalang kepada pembangunan yang lebih seimbang di Malaysia Timur. Dengan hubungan yang lebih baik, ini dapat membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan ekonomi, infrastruktur dan sosial.
‘BAPA EKONOMI MODEN’?
PMX mungkin layak mendapat gelaran ‘Bapa Ekonomi Moden’ jika beliau berjaya bukan sahaja dalam menyelesaikan tuntutan MA63 tetapi juga dalam mengarahkan ekonomi Malaysia ke arah yang lebih progresif dan inklusif. Kejayaan dalam menyelesaikan tuntutan MA63 adalah satu langkah besar ke arah memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara Malaysia Barat (Semenanjung) dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak). Aspek ini penting kerana Sabah dan Sarawak sering kali ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi berbanding Semenanjung Malaysia.
Sekiranya PMX mampu melaksanakan reformasi ekonomi yang menyeluruh, termasuk memanfaatkan sumber asli Sabah dan Sarawak secara lebih berkesan serta memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih baik, beliau boleh dianggap sebagai pemimpin yang membawa Malaysia ke arah ekonomi moden. Pembaharuan yang menyeluruh ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak, tetapi juga meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global.
AUTONOMI SABAH DAN SARAWAK
Hakikatnya, sekiranya perjanjian ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya, Sabah dan Sarawak akan memperoleh autonomi lebih besar dalam beberapa bidang penting, seperti kawalan ke atas sumber asli, perkhidmatan awam dan pelaksanaan projek pembangunan. Maka, ini akan mengurangkan kebergantungan negeri-negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan dan memberi mereka lebih banyak kuasa untuk membuat keputusan yang sesuai dengan keperluan tempatan.
Namun, autonomi yang lebih besar ini juga membawa cabaran tersendiri. Negeri-negeri ini perlu mempunyai keupayaan pentadbiran yang lebih kuat untuk mengurus autonomi mereka dengan berkesan. Perkara ini termasuk memastikan mereka mempunyai sumber kewangan dan tenaga manusia yang mencukupi untuk melaksanakan dasar-dasar yang lebih berkesan. Tanpa keupayaan pentadbiran yang mencukupi, autonomi ini mungkin tidak akan membawa kepada hasil yang diinginkan.
Secara keseluruhannya, kejayaan PMX dalam menyelesaikan tujuh daripada 11 tuntutan MA63 adalah satu pencapaian besar yang membawa banyak manfaat politik dan ekonomi untuk Malaysia. Dengan menyelesaikan isu ini, PMX bukan sahaja memperbaiki hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri Malaysia Timur, tetapi juga membuka jalan untuk pembangunan yang lebih seimbang dan adil di seluruh negara.
Bagaimanapun, kejayaan secara menyeluruh perlu dianalisis secara kritis, kerana ia bergantung kepada tahap implementasi sebenar dan impak yang akan dilihat dalam jangka masa panjang. Selain itu, cabaran-cabaran yang datang bersama dengan autonomi yang lebih besar untuk Sabah dan Sarawak juga perlu diambil kira, terutama dari segi keupayaan pentadbiran dan sumber yang mencukupi. Apabila PMX berjaya menangani cabaran-cabaran tersebut dan melaksanakan reformasi ekonomi yang holistik dan mampan, maka gelaran ‘Bapa Ekonomi Moden’ Malaysia akan pasti diberikan oleh rakyat pada masa akan datang.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).