Walaupun diuji dengan pandemik Covid-19, kemeriahan Maulidur Rasul tetap dirasai sungguhpun disambut secara sederhana dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam suasana norma baharu.
Penularan wabak Covid-19 tidak menghalang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pemindahan di Marudi untuk mengadakan Pertandingan Lampu Elektrik baru-baru ini sempena Maulidur Rasul.
Setiusaha JKKK Kampung Pemindahan, Rabiah Ismail berkata, pihak mereka mengadakan pertandingan tersebut bersesuaian dengan keadaan.
Katanya sudah dua tahun pihak JKKK tidak dapat mengadakan aktiviti baik sempena Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Haji atau aktiviti keagamaan lain kerana mematuhi SOP yang telah digariskan pihak kerajaan ekoran wabak Covid-19.
Beliau dan pihak JKKK mengucapkan kesyukuran kerana pada tahun ini mereka dapat mengadakan aktiviti pertandingan Lampu Elektrik secara sederhana sempena Maulidur Rasul tahun ini.
Katanya walaupun pada saat –saat akhir penduduk kampung diberi notis tentang pertandingan ini namun sambutan menggalakkan di mana seramai lapan peserta menyertai pertandingan tersebut.
Menerusi pertandingan hiasan lampu elektrik ini, Abdul Rahim Alwi dari Lot 207 Kampung Pemindahan telah dinobatkan sebagai johan setelah kediaman beliau berjaya memperoleh markah tertinggi menerusi faktor keceriaan, kreativiti dan beberapa perkara-perkara lain pada pertandingan tersebut dan membawa hadiah wang tunai RM300.
Naib johan untuk pertandingan tersebut disandang Jibli Magribi di Lot 1225, Kampung Pemindahan, manakala Zakaria Abu Razak dari Lot 242 Kampung Pemindahan di tempat ketiga dalam pertandingan berkenaan.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan RM100, manakala lima peserta lain turut menerima hadiah saguhati.
Pihak penganjur ketika ditemui memberitahu pertandingan hiasan Lampu Eletrik ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang saat-saat akhir oleh pihak JKKK bagi menceriakan suasana malam sambutan Maulidur Rasul tahun ini.
Pertandingan ini dilihat sebagai salah satu langkah untuk mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam dan penduduk kampung tahun ini.
Rabiah mengharapkan pihak JKKK Kampung Pemindahan dapat meneruskan aktiviti untuk memeriahkan sesuana kampung di masa akan datang.
Oleh JIKU JUGUONG