
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga bahan api serta krisis bekalan global yang belum menunjukkan tanda-tanda reda, mendorong lebih ramai rakyat Malaysia menimbang untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV).
Minat pengguna juga dipacu oleh penawaran pelbagai model baharu termasuk daripada pengeluar kereta negara Proton dan Perodua yang memperkenalkan EV masing-masing pada harga lebih mampu milik.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), sebanyak 5,894 EV didaftarkan pada April 2026, iaitu peningkatan sebanyak 103.8 peratus berbanding 2,892 unit yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu turut mencerminkan pemulihan lebih luas industri automotif Malaysia, dengan Jumlah Volum Industri (TIV) bagi April 2026 mencecah 77,819 unit, meningkat sebanyak 19.4 peratus tahun ke tahun berbanding 65,200 unit sebelum ini.
EV merangkumi kira-kira 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran kenderaan pada April, atau satu daripada 13 kenderaan baharu yang didaftarkan di Malaysia, dengan Proton menerajui segmen itu sebanyak 2,408 unit, diikuti BYD (1,413), Chery (562), Zeekr (357) dan Tesla (172).
Data merekodkan dalam tempoh 2000 hingga April 2026, sebanyak 98,202 EV berdaftar di negara ini. https://zoommyd.xyz/cars/monthly/electric3.php
Walaupun pertumbuhan pesat penggunaan EV dilihat sebagai perkembangan positif ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan kebergantungan pada bahan api fosil, pemerhati dan pihak berkepentingan mula menyuarakan kebimbangan berkenaan satu lagi isu yang mungkin timbul pada tahun-tahun akan datang, iaitu pengurusan dan pelupusan bateri EV yang telah tamat jangka hayat.
JUMLAH BATERI EV TAMAT HAYAT MASIH TERHAD
Malaysia dijangka berdepan cabaran besar dalam menguruskan bateri EV yang tamat jangka hayat menjelang 2050, kerana jika tidak dilupuskan dengan betul, sisa tersebut akan memberi kesan kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat.
Berdasarkan jangka hayat bateri EV selama lapan tahun dan pendaftaran kenderaan itu bermula 2020, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengunjurkan Malaysia bakal menyaksikan pengendalian hampir 900,000 bateri EV litium ion yang tamat jangka hayat menjelang 2050.
Menurut MARii, industri dianggar perlu mengitar semula sebanyak 40,000 bateri EV menjelang 2030, meningkat kepada 330,000 pada 2040 dan 870,000 menjelang 2050.
Naib Presiden Persatuan Pengitar Semula Automotif Malaysia (MAARA) Cho Chee Seng berkata industri kitar semula bateri EV masih baharu di Malaysia memandangkan penggunaan EV hanya mula meningkat dengan ketara pada 2022 susulan pengecualian cukai dan duti eksais oleh kerajaan.
Beliau berkata buat masa ini, belum banyak bateri EV yang mencapai penghujung jangka hayat dan dikumpulkan untuk tujuan kitar semula.
Pun begitu katanya, Malaysia telah menggubal rangka kerja kawal selia yang komprehensif bagi mengurus pelupusan dan kitar semula bateri hibrid serta EV secara selamat melalui dasar dan garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, rangka kerja itu merangkumi pelaksanaan Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF), pusat kitar semula berlesen dan protokol Sisa Terjadual SW103 bagi mengawal pengendalian, penyimpanan, pengangkutan serta pelupusan bahan bateri berbahaya.
“Syarikat yang dilantik di bawah dasar AATF perlu mematuhi peraturan ketat berkaitan cara kenderaan diproses, kaedah pelupusan sisa dan bagaimana penghasilan sisa dapat diminimumkan.
“Dalam hal itu, kami (MAARA) bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam membangunkan ekosistem kitar semula kenderaan di Malaysia, termasuk memberi maklum balas industri semasa penggubalan dasar AATF dan melatih ahli kami untuk mengendalikan sisa bateri EV dengan lebih berkesan, ketika industri bergerak ke arah aktiviti kitar semula hiliran dan guna semula,” katanya kepada Bernama semasa Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) 2026 baru-baru ini.
KERAJAAN MEMACU DASAR EKONOMI KITARAN
Bagi mengelakkan krisis sisa pada masa depan, Malaysia telah meletakkan asas bagi ekosistem EV lebih mampan menerusi dasar yang memberi tumpuan kepada amalan kitar semula, pembuatan semula dan ekonomi kitaran.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menangani isu itu menerusi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dan Dasar Pembuatan Semula Nasional (NRP).
Di bawah NAP 2020, kerajaan menyasarkan kadar kitar semula sebanyak 70 peratus bagi Kenderaan Tamat Hayat (ELV) menerusi inisiatif penyelidikan dan pembangunan serta pematuhan piawaian MS ISO:22628. Dasar itu juga menyasarkan penubuhan 21 buah AATF menjelang 2030, berbanding hanya lima yang beroperasi ketika ini.
NAP yang diperkenalkan pada 2006 di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) 2006-2020 berfungsi sebagai rangka kerja jangka panjang bagi memperkukuh daya saing dan kemampanan sektor automotif Malaysia.
NRP pula melengkapkan usaha itu dengan menggalakkan ekonomi kitaran merentasi lima sektor strategik – automotif, marin, pemesinan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa – menerusi pembuatan semula komponen terpakai menjadi produk bernilai tinggi yang menyerupai baharu.
Dasar itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi kitaran serantau menjelang 2030.
Sementara itu, MARii memperkenalkan piawaian Pasport Bateri EV pertama di ASEAN yang direka bagi meningkatkan kebolehkesanan bateri sepanjang kitar hayatnya sambil memastikan pematuhan terhadap piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global.
Sistem Pasport Bateri itu berfungsi seperti kad pengenalan digital bagi bateri EV dengan merekodkan maklumat seperti asal usul bateri, komposisi, sejarah penggunaan, jejak karbon dan data kitar semula. Inisiatif itu dijangka meningkatkan ketelusan, memudahkan proses kitar semula serta menyokong penggunaan semula bateri secara lebih selamat untuk aplikasi hayat kedua.
Bagi terus menggalakkan pelaburan hijau, kerajaan turut menawarkan insentif cukai termasuk elaun cukai pelaburan hijau dan pengecualian cukai pendapatan bagi perkhidmatan teknologi hijau yang diuruskan oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
PERTINGKAT PELABURAN KITAR SEMULA
Pemain industri turut meningkatkan usaha sebagai persediaan menghadapi gelombang sisa bateri yang dijangka berlaku.
Econili Battery New Energy Sdn Bhd menubuhkan kilang kitar semula bateri EV berkapasiti 24,000 tan setahun di Perak dan merancang membangunkan loji baharu bernilai RM500 juta bagi projek pengembangan Fasa Dua di Gopeng dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Jayden Goh berkata pengembangan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu akan meningkatkan kapasiti kitar semula tahunan sebanyak 100,000 tan.
“Kilang berteknologi tinggi ini beroperasi menggunakan proses sistem tertutup yang mematuhi piawaian ketat JAS, sekali gus memastikan kesan minimum terhadap alam sekitar sepanjang proses kitar semula,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu menempatkan loji hidrometalurgi pertama di Malaysia bagi pemulihan bersepadu logam kritikal yang menghasilkan “black mass” mengandungi litium, kobalt dan nikel – bahan bernilai yang digunakan dalam pembuatan bateri baharu.
“Black mass” merujuk bahan berbentuk serbuk yang diekstrak daripada bateri litium-ion terpakai selepas dileraikan dan diproses. Bahan ini mengandungi logam berharga yang boleh dipulihkan dan digunakan semula dalam pengeluaran bateri.
Beliau menambah, Econili mengendalikan kemudahan kitar semula bateri litium berlesen JAS yang disokong teknologi pemprosesan proprietari.
HAYAT KEDUA
Selain dikitar semula, bateri EV yang telah ditamatkan penggunaannya kian dilihat sebagai aset bernilai yang boleh digunakan semula untuk penyimpanan tenaga.
Cho berkata bateri yang dikeluarkan daripada EV lazimnya masih mempunyai 40 hingga 50 peratus kapasiti boleh guna walaupun tidak lagi sesuai digunakan pada kenderaan.
“Sebagai contoh, bateri daripada beberapa EV boleh digabungkan menjadi pek bateri bersaiz kira-kira sebuah meja, yang kemudian digunakan untuk membekalkan kuasa kepada sebuah rumah atau berfungsi sebagai penjana elektrik untuk pasar malam.
“Pada waktu siang, elektrik dijana menerusi tenaga solar, manakala pada waktu malam tenaga yang disimpan dalam Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) boleh digunakan tanpa bergantung sepenuhnya pada bekalan grid,” katanya.
KERJASAMA ANTARA SYARIKAT AUTOMOTIF DAN UNIVERSITI
BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya antara pihak yang meneroka bagaimana bateri EV yang telah ditamatkan penggunaannya dapat digunakan semula sebagai sistem penyimpanan tenaga bagi projek elektrifikasi luar bandar.
Di bawah kerjasama itu, BMW membekalkan bateri EV terpakai kepada Pusat Penyelidikan Tenaga Termaju Universiti Malaya (UMPEDAC), di mana penyelidik mengkaji aplikasi hayat kedua termasuk sistem penyimpanan tenaga statik dan penyelesaian tenaga mampan di kampus.
Inisiatif itu juga berpotensi memberi manfaat kepada komuniti luar bandar yang disokong pusat libat urus komuniti dan pembangunan mampan universiti berkenaan.
Pengarah Komunikasi Korporat dan kelestarian BMW Group Malaysia Sashi Ambi berkata syarikat itu telah menyerahkan lebih 38,700 kenderaan elektrik dan hibrid kepada pengguna di Malaysia setakat Mac 2026, manakala lebih 13,600 bateri sudah dikumpulkan semula mengikut amalan standard syarikat.
“Apabila kenderaan ini semakin berusia, kami mengumpulkan semula baterinya sebagai amalan standard. Menerusi inisiatif RE:GENERATE, kami melangkah lebih jauh dengan meneroka bagaimana bateri ini boleh diberikan hayat kedua,” katanya.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen ekonomi kitaran lebih luas BMW Group Malaysia yang berpandukan prinsip “RE:THINK, RE:DUCE, RE:USE dan RE:CYCLE”.
“Jika teknologi ini dapat diperluaskan secara selamat, ia dapat membantu mengurangkan sisa bateri, menyokong elektrifikasi luar bandar yang lebih bersih dan menawarkan penyelesaian elektrik lebih praktikal kepada komuniti yang masih bergantung pada generator diesel,” katanya ketika sesi taklimat media di Universiti Malaya baru-baru ini.
Pensyarah kanan UMPEDAC Prof Madya Dr Tan Chia Kwang berkata bateri BMW generasi baharu mengekalkan ketumpatan tenaga yang lebih tinggi dan mampu membekalkan elektrik hingga tiga hari bagi sebuah isi rumah yang mempunyai peti sejuk.
“Bateri generasi lama secara purata mempunyai kapasiti sekitar 0.5kWh, dan melalui proses penggredan, pengasingan serta pengubahsuaian yang teliti, kami cuba memaksimumkan prestasi setiap pek tanpa mengira generasi,” katanya.
Menurut Tan, sistem solar-bateri itu direka bagi menyesuaikan corak kehidupan luar bandar dengan panel solar mengecas bateri pada waktu siang sebelum tenaga tersimpan digunakan pada waktu malam ketika permintaan elektrik memuncak.
Dalam keadaan optimum, katanya, bateri EV hayat kedua boleh terus berfungsi selama 20 tahun lagi sebagai sistem penyimpanan statik.
“Jika bateri EV yang telah ditamatkan penggunaan dapat terus digunakan sebagai sistem penyimpanan statik untuk bertahun-tahun lagi sebelum dikitar semula sepenuhnya, jangka hayat keseluruhan penggunaannya menjadi jauh lebih panjang berbanding hayat pertama dalam kenderaan,” katanya.
BEKALAN BATERI BELUM CUKUP
Walaupun minat terhadap kitar semula semakin meningkat, Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berpendapat Malaysia mungkin belum dapat menghasilkan jumlah bateri EV tamat hayat yang mencukupi dalam masa terdekat untuk menyokong industri kitar semula tempatan berskala besar.
Beliau berkata bateri EV kini tahan lebih lama daripada jangkaan awal dengan sebahagian besar masih sesuai digunakan untuk tujuan penyimpanan tenaga hayat kedua.
“Justeru, kaedah paling menjimatkan untuk memproses bateri EV yang tidak lagi dapat berfungsi adalah dengan menukarkan bateri kepada ‘black mass’ sebelum bahan itu dieksport ke fasiliti kitar semula lebih besar di luar negara yang mampu mendapatkan semula logam berharga,” katanya.
Bagaimanapun, Shahrol Azral berkata antara cabaran utama dalam penggunaan semula bateri ialah kos tinggi untuk melerai, memeriksa dan memasang semula bateri EV terpakai.
“Dalam sesetengah keadaan, proses itu lebih mahal berbanding mendapatkan bateri baharu dari China memandangkan skala pengeluaran yang besar dan harga berdaya saing di negara itu,” katanya.
Pada masa sama, permintaan terhadap bateri EV terpakai kian meningkat dalam kalangan bengkel pihak ketiga yang mencari bateri gantian lebih mampu milik untuk dipasang pada EV yang rosak atau berusia.- Bernama