
JEDDAH: Malaysia masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung dakwaan lima rakyat negara ini telah ditahan kerana cuba memasuki Makkah tanpa permit haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
“Kita masih menunggu siasatan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Simposium Haji Perdana 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita Arab Saudi melaporkan lima rakyat Malaysia ditahan oleh pasukan keselamatan negara itu selepas didapati cuba memasuki Makkah tanpa permit haji melalui kawasan berbukit dan lembah.
Menurut laporan itu, Direktorat Jeneral Mujahideen Arab Saudi memaklumkan kesemua individu ditahan kerana melanggar peraturan musim haji 1447H sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
Pihak berkuasa Arab Saudi turut mengingatkan semua jemaah dan penduduk supaya mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan operasi haji musim ini. – Bernama