PETRA JAYA: Persiapan bagi Konvensyen atau Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak ke-16 berjalan lancar.
Pelbagai aspek logistik dan teknikal disiapkan menjelang Konvensyen PBB 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) mulai esok hingga Ahad ini.
Tinjauan yang dilakukan di lokasi utama acara mendapati semua persiapan berada pada tahap terbaik.
Menurut sumber jawatankuasa penganjur, segala persiapan dari segi protokol, tempat duduk, susunan aturcara serta aspek keselamatan telah disusun rapi bagi memastikan kelancaran acara.
Esok Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Wanita dan Pemuda.
Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB Sarawak ke-16 akan berlangsung pagi Sabtu ini, dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Presiden parti.
Selain persidangan utama, Perhimpunan Agung kali ini turut dimeriahkan dengan 17 reruai pameran daripada pelbagai agensi yang menyediakan maklumat serta perkhidmatan berkaitan pembangunan negeri.
Selain itu, sebanyak 30 reruai disediakan khusus bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mempamerkan inisiatif dan pencapaian masing-masing dalam kawasan mereka.
Kehadiran reruai ini dijangka menarik perhatian para perwakilan dan pemerhati yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai pelbagai program yang sedang dan akan dilaksanakan.
Perhimpunan Agung Ke-16 ini bakal menjadi platform penting bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan hala tuju politik dan pembangunan negeri, termasuk pemilihan Majlis Tertinggi Parti PBB Sarawak bagi sesi 2025-2028.
Pihak penganjur yakin konvensyen ini akan berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya dalam mengukuhkan kedudukan PBB sebagai tonggak kestabilan, kemajuan, dan kelestarian Sarawak.
Oleh Masrin Affirah