Persekutuan Bola Sepak Itali tarik sokongan terhadap Infantino

Facebook
WhatsApp
PERSEKUTUAN Bola Sepak Itali (FIGC) menarik balik sokongan terhadap pencalonan semula Gianni Infantino sebagai Presiden FIFA pada Mac tahun depan, susulan kontroversi berkaitan tadbir urus dan pembangunan pertandingan antarabangsa.

ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) pada Rabu mengumumkan tidak lagi akan menyokong pencalonan semula Presiden FIFA Gianni Infantino pada Mac tahun depan, lapor Anadolu Ajansi.

Persekutuan itu berkata keputusan berkenaan bertujuan menyatakan pendiriannya secara jelas dan telus, sambil merujuk kepada beberapa inisiatif kontroversi Infantino baru-baru ini “berkaitan tadbir urus dan pembangunan pertandingan antarabangsa”.

“Kami akan terus bekerjasama dengan UEFA dan persekutuan Eropah lain bagi mempromosikan visi bola sepak yang berasaskan merit, solidariti, kemampanan dan meletakkan penyokong sebagai keutamaan. 

“Kami berpegang kepada model dialog, mendengar pandangan dan tanggungjawab bersama yang sehingga kini membolehkan bola sepak berkembang, berinovasi dan pada masa sama mempertahankan prinsip asasnya,” menurut kenyataan itu. 

Infantino berdepan tekanan yang semakin meningkat sejak melancarkan cadangan FIFA Forward Enterprise pada musim panas ini, yang kini telah dibatalkan, membabitkan penjualan kepentingan dalam sebuah syarikat yang mengawal hak komersial Piala Dunia dan pertandingan FIFA lain kepada pelabur swasta.

Cadangan itu ditarik balik susulan bantahan meluas, namun beberapa persatuan kebangsaan dan badan pentadbir benua terus mempersoalkan kepimpinan Infantino.

UEFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan CONCACAF yang mewakili bola sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean kemudiannya mengeluarkan surat bersama yang menuduh Infantino mencabuli kepercayaan “melalui penipuan” serta menggesa semakan bebas sepenuhnya terhadap cadangan yang telah dibatalkan itu.

Beberapa persekutuan kebangsaan termasuk England, Wales dan Ireland turut menarik balik sokongan terhadap pencalonan semulanya.

Infantino yang menerajui FIFA sejak 2016 dilaporkan merancang untuk bertanding semula pada Kongres FIFA di Maghribi pada Mac tahun depan. – Bernama-Anadolu