SIBU: Persatuan Pencinta Seni Budaya Selinggar Matahari Sibu berfungsi sebagai platform untuk mempelajari adat resam, budaya dan nilai teras masyarakat Iban.
Pengerusinya, Flora Jaya berkata, persatuan itu dilancarkan tahun lalu di bawah Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan.
Menurutnya, walaupun baru berusia setahun, persatuan ini mempunyai visi dan misi yang besar dalam usaha untuk memartabatkan seni budaya dan adat resam masyarakat Iban.
“Kami masih baru, masih kecil lagi, tapi harapan kami dalam Persatuan Selingar Matahari sangat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Krismas 2024 anjuran Persatuan Pencinta Seni Budaya Selinggar Matahari Sibu yang dinaungi oleh Veronica Belankat, isteri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Romeo Christopher Tegong malam tadi.
Flora memberitahu, tujuan persatuan itu ditubuhkan adalah untuk memartabat adat resam dan seni budaya masyarakat Iban seiring dengan pembangunan pada masa kini.
“Kalau kita lihat, seni dan budaya kita memang sudah dikenali, tetapi kali ini kita mahu ahli-ahli yang hendak menyertai persatuan ini dilengkapi dengan ilmu berkaitan seni dan budaya. Cara kita berkongsi ilmu adalah dengan mendekati antara satu sama lain,” katanya.
Selain itu, katanya lagi, visi persatuan adalah untuk memupuk semangat persahatan di kalangan ahli persatuan.
“Persatuan ini tidak terhad kepada golongan wanita tetapi golongan belia yang mempunyai minat untuk bersama-sama kami untuk capai matlamat dan visi ini.
“Kami ingin menggalakkan semua atau mengajak semua untuk menyertai persatuan ini,” kata beliau.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pasukan Pembangunan Komuniti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau.
Oleh AKUN GIMAN