
KOTA SAMARAHAN: Perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat terus menjadi pemangkin kepada kejayaan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi serta mempercepat agenda transformasi negeri demi kesejahteraan masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, keharmonian yang terjalin dalam masyarakat berbilang kaum membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek strategik, termasuk pembinaan lebih 20 jambatan di seluruh Sarawak yang kini memberi manfaat besar kepada rakyat.

Menurut beliau, hasil pembangunan yang dirancang secara berterusan turut dapat dilihat menerusi pembinaan Jambatan Batang Lupar yang bukan sahaja meningkatkan jaringan perhubungan, malah menjadi mercu tanda baharu dan tarikan di negeri ini.
“Kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan membolehkan pelbagai inisiatif strategik dilaksanakan dengan lebih berkesan, termasuk penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri, AirBorneo.
“Dalam bidang pendidikan pula, Sarawak terus melakar sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan pendidikan tinggi percuma di lima institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau Komuniti Bersama Pemimpin dan Sambutan Ngiling Tikai 2026 di Balai Raya Kampung Melaban, semalam.
Rubiah turut menyeru penduduk Kampung Melaban supaya terus memelihara semangat perpaduan, permuafakatan dan saling menghormati yang menjadi kekuatan masyarakat serta penyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Beliau berkata, sambutan Ngiling Tikai bukan sekadar menandakan berakhirnya musim perayaan Gawai Dayak, malah menjadi platform penting untuk memelihara warisan budaya, mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Menurutnya, kepelbagaian budaya yang dipupuk dalam suasana harmoni merupakan antara keunikan Sarawak yang perlu terus dipelihara sebagai asas kepada pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Dato Idris Buang, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Mohamed Faizal Shah Ali, Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, wakil Pegawai Daerah Samarahan Lim Kiew Leng, serta Ketua Kaum Kampung Melaban Jemat Abak.
Oleh Shikin Mahmud