SIBU: Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di atas keprihatinan dan sokongannya terhadap isu pemohonan empat pegawai perubatan (MO) Sarawak yang berkhidmat secara kontrak untuk jawatan.
Pengerusinya, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, Ketua Menteri telah menyuarakan sokongannya dengan menulis surat kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berhubung isu tersebut.
“Pada 28 Julai lepas, saya mewakili pihak ibu bapa telah menulis surat kepada Ketua Menteri meminta sokongan beliau agar empat pegawai perubatan diberikan jawatan tetap.
“Saya amat bersyukur dalam kurang masa seminggu, Ketua Menteri menulis surat bertarikh 3 Ogos kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaaron Ago Dagang dan menyuarakan sokongan empat pegawai perubatan diberikan jawatan tetap,” jelasnya pada sidang media hari ini.
Ding yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong berkata, Abang Johari adalah ketua menteri untuk seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.
“Inilah pemimpin yang diperlukan oleh Sarawak,” ujarnya.
Katanya, Biro Pendidikan SUPP hanya memberikan empat nama kepada Ketua Menteri kerana hanya empat pegawai perubatan secara kontrak berani tampil meminta bantuan mereka.
“Pada sidang media terakhir 22 Julai lalu, tiga bapa pegawai perubatan secara kontrak yang menghadapi masalah yang sama tampil.
“Namun, nama mereka tidak dapat diberikan kepada kami kerana ibu bapa bimbang anak mereka akan menjadi mangsa pihak berkuasa yang berkenaan,” ujarnya lagi.
Justeru, katanya lagi, Biro Pendidikan SUPP menggesa para pegawai perubatan kontrak Sarawak yang telah lulus sebahagian kursus pascasiswazah dan berdepan penamatan kontrak di masa akan datang untuk tampil berbincang dengan mereka.
“Kami (Biro Pendidikan SUPP) sudi membantu anda.
“Sidang media pada hari ini (semalam) adalah kali kelima untuk memberi perkembangan isu pegawai perubatan secara kontrak yang telah lulus sebahagian daripada kursus pascasiswazah tetapi kontrak tidak diperbaharui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Rakyat, Senator Robert Lau Hui Yew dan Pengerusi SUPP Dudong, Wong Ching Yong yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
Oleh Akun Giman