KUCHING: Sukan pickleball perlu diperkenalkan secara lebih meluas di kawasan luar bandar bagi menarik penyertaan golongan belia dalam aktiviti sukan ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, pickleball kini dimainkan di pelbagai bandar utama seperti Kuching, Bintulu, Miri, Sri Aman dan Sibu.
“Kawasan saya yang berasaskan luar bandar kini mempunyai stadium mini baru yang akan mula digunakan tahun depan, dan saya bercadang untuk memperkenalkan sukan pickleball.
“Ia mempunyai dewan besar dengan empat gelanggang badminton. Gelanggang badminton tersebut boleh ditukar kepada gelanggang pickleball, menjadikan pengenalan sukan pickleball ini lebih mudah kepada komuniti luar bandar.
“Bagi mereka, ini masih sukan yang asing atau tidak dikenali. Sehingga kita tunjukkan bagaimana rupanya, mereka tidak akan faham.
“Saya menunjukkan video pickleball kepada mereka dan menjelaskan bahawa ia adalah campuran antara tenis dan badminton,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Kejohanan Antarabangsa Pickleball Borneo di kompleks Pikabol di sini, hari ini.
Snowdancturut menjelaskan bahawa pickleball adalah sukan yang inklusif untuk semua peringkat umur.
“Saya teruja untuk mempunyai gelanggang pickleball di dalam dewan, di mana kita boleh memperkenalkan sukan ini dan mungkin menganjurkan kejohanan pada masa hadapan.
“Sukan ini sedang tular sekarang dan pickleball adalah permainan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Kejohanan Antarabangsa Pickleball Borneo dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak sebagai acara tahunan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Amelia Roziman; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan tetamu kehormat yang lain.
Oleh Mohd Neenatul Aizal