KUCHING:Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, meminta kerajaan negeri memperluaskan rangkaian Transit Aliran Autonomi (ART) ke kawasan Batu Kawa, yang akan dikenali sebagai Laluan Kuning, bagi memenuhi keperluan pengangkutan awam penduduk setempat yang kian meningkat.
Menurut Dr Sim, pembinaan ART di kawasan tersebut juga bakal mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam ucapannya memaklumkan bahawa fasa pertama projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS) kini sedang dalam pembinaan.
Katanya, fasa tersebut merangkumi Laluan Biru sepanjang 27.6 kilometer dari Depot Rembus ke Hikmah Exchange, Laluan Merah sepanjang 12.3 kilometer dari Kuching Sentral ke Pending, dan Laluan Hijau sepanjang 30 kilometer dari Pending ke Damai Central.
“Kita sudah ada Laluan Biru dan Laluan Merah, kini Dr Sim mahukan Laluan Kuning yang akan menghubungkan Batu Kawa.
“Perkara ini boleh dibincangkan, kerana ini boleh meningkatkan ketersambungan kawasan Batu Kawa ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, menekankan bahawa kepadatan penduduk di kawasannya menjadikan Batu Kawa lokasi yang sesuai untuk fasa kedua ART, kerana ia menjanjikan jumlah penumpang yang tinggi.
“Dengan kepadatan penduduk di sini, kami yakin ramai yang akan menggunakan ART, terutama dengan ada Laluan Kuning yang dicadangkan oleh Sarawak Metro dalam perancangan asal.
“Laluan ini akan menghubungkan Hospital Umum Sarawak (HUS) dan menjangkau hingga ke pusat bandar, menyediakan penyelesaian penting bagi keperluan pengangkutan di kawasan ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil; Senator Dato Ahmad Ibrahim; ADUN Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang; ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin,dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.
Oleh SHAHRUL QAIZAT