DAYANG Noorazah Awang Sohor merasmikan Pertandingan Futsal DUN Lingga di Gelanggang Futsal Lingga
di Lingga kelmarin.
DAERAH Lingga memerlukan sebuah kemudahan padang bola sepak ‘standard’ untuk menganjurkan pelbagai kejohanan bola sepak dalam usaha meningkatkan mutu sukan itu di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, buat masa ini Lingga hanya bergantung kepada satu-satunya padang bola sepak di Kompleks Sukan Sri Aman yang menjadi venue utama bagi setiap kejohanan di bahagian itu.
Beliau memberitahu permohonan mendapatkan sebuah padang bola sepak di Daerah Lingga itu sudah pun dimaklumkan dan menunggu beberapa proses dan pertimbangan untuk kelulusan.
“Kita memohon agar kerajaan dapat membina sebuah kemudahan padang bola sepak standard bagi Daerah Lingga kerana kemudahan itu tidak mencukupi untuk membolehkan kita mengadakan pertandingan bola sepak di sini,” katanya semasa berucap merasmikan Pertandingan Futsal DUN Lingga bertempat di Gelanggang Futsal Lingga kelmarin.
Dayang Noorazah berkata, bertepatan dengan status Lingga sebagai daerah penuh yang seharusnya memiliki kelengkapan fasiliti sukan seperti padang bola sepak.
“Saya akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan sebuah padang bola sepak di Daerah Lingga ini dan berharap permohonan tersebut diluluskan dan dipermudahkan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu memandang berat keperluan rakyat setempat kerana kemudahan tersebut bukan sahaja dijadikan tempat untuk bersukan, malah menjadi tempat riadah masyarakat setempat khususnya generasi muda bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.
Dalam perkembangan lain, beliau mahu lebih ramai lagi golongan belia di DUN Lingga berjaya di dalam bidang sukan hingga melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurutnya, belia di kawasan itu kini telah ramai melahirkan jaguh-jaguh atlet serta menyumbang nama pada beberapa sukan besar sebelum ini.
“Belia di daerah ini telah banyak menyumbangkan nama dan mewakili negeri Sarawak seperti dalam beberapa acara sukan peringkat negeri Sarawak dan banyak lagi.
“Momentum seperti ini harus diteruskan dan kerajaan akan sedaya upaya memberi sokongan moral dan apa-apa bantuan kepada belia kita agar, belia kita tidak akan ketinggalan serta menaikkan nama belia Lingga ke peringkat yang lebih tinggi” ujarnya.
Jelas Dayang Noorazah, beliau yakin dan percaya satu hari nanti DUN Lingga juga akan melahirkan ramai atlit-atlit yang berjaya diperingkat sukan yang berprestij tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA, Sukan Olimpik dan sebagainya.
Oleh ADI SAFARMAN