

SERIAN: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Serian mengimarahkan keberkatan bulan ini dengan meneruskan aktiviti tahunan yang paling dinanti-nantikan menerusi Program Semarak Ramadan Penyampaian Bakul Makanan dan Bubur Pedas hari ini.
Program yang amat bermakna berkenaan merupakan inisiatif penting bagi menyemai keprihatinan dan memperkukuh ukhuwah, memupuk amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat, khususnya menghulurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan seperti anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), golongan asnaf dan daif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus menyifatkan acara tersebut bukan hanya sekadar aktiviti memasak, tetapi juga melambangkan keprihatinan dan bekerjasama dalam masyarakat.
“Semangat gotong-royong seperti inilah yang kita mahu tanamkan dalam masyarakat. Bukan itu sahaja, kita juga dapat membantu golongan yang memerlukan di luar sana yang mampu menyemarakkan lagi keberkatan Ramadan.
“Usaha murni sebegini wajar diteruskan bagi memupuk keharmonian dan silaturahim. Saya amat berbangga atas penganjuran program yang bermanfaat ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program berkenaan di Dewan Kampung Hilir, hari ini.


Dalam pada itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Serian, Jamayah Jamal memuji usaha dan keberhasilan dalam menganjurkan program yang memberi impak kepada masyarakat itu.
“Segala persiapan, penyediaan dan pengagihan bubur pedas berjalan lancar. Saya bangga atas kerjasama yang ditonjolkan dalam pasukan,” ujarnya.
Sementara itu, 50 Bakul Ramadan berisi keperluan asas merupakan hasil pemberian daripada Pengerusi PERKIM Sarawak, Datuk Hanifah Hajar Taib manakala pihak Pejabat Imigresen Tebedu pula membiayai Program Menyediakan Bubur Pedas.
Hadir sama, Pemanca Salbiah Emon, Penghulu Morshidi Mohammed, Ketua Kaum Kampung Hilir, Aimy Openg dan ahli-ahli PERKIM yang lain.
OLEH AIN CHAI

