MADRID: Perkhidmatan pos Sepanyol, Correos mengeluarkan setem khas pada Selasa bagi merayakan kejayaan Sepanyol menjuarai perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menentang Argentina, lapor Xinhua.
Setem berkenaan memaparkan lencana pasukan kebangsaan berlatarbelakangkan warna merah yang menyamai jersi utama pasukan itu, bersama dua bintang yang melambangkan dua gelaran Piala Dunia yang dimenangi negara itu pada 2010 dan 2026.
“Setem peringatan ini melambangkan kebanggaan sebuah negara yang merayakan satu lagi gelaran juara dunia serta merapatkan jurang antara dua generasi bersejarah: generasi yang menakluki dunia pada 2010 dan generasi yang mengulangi pencapaian itu pada 2026,” kata Correos dalam satu kenyataan.

Skuad Sepanyol berlepas pulang ke Madrid pada petang Isnin selepas menewaskan Argentina 1-0 dalam aksi final pada Ahad.
Selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga diraja dan Perdana Menteri Pedro Sanchez, para pemain serta staf kejurulatihan menyertai perarakan bas berbumbung terbuka di pusat bandar raya Madrid yang dikerumuni sekitar dua juta penyokong, menurut Kerajaan Sepanyol. – Bernama





