KARNIVAL TVET dan STEM KV Bintulu 2022 yang berlangsung selama dua hari pada Ogos lepas menerima sambutan menggalakkan dengan jumlah kehadiran para pengunjung yang ramai.
Sebanyak RM29 juta diperuntuk bagi tujuan memperkasa Pendidikan Teknikal, Vokasional dan Latihan (TVET) dalam Belanjawan 2021 kerana ia merupakan perhatian utama dalam membangunkan ekonomi negara menerusi pemerkasaan sumber tenaga manusia.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, sebagai sebuah negara yang sedang merintis arus
pembangunan, anak-anak tempatan seharusnya mengambil peluang untuk menjadi pekerja mahir bagi membantu pembangunan ekonomi dalam negara serta tidak melepaskan tanggungjawab kepada warga asing.
“Sehingga ke hari ini kita masih mengharapkan kudrat warga asing. Kini tiba masanya kita berdiri di atas kaki sendiri untuk mengorak langkah dalam
melakukan perubahan yang besar buat negara dan bangsa serta negara dengan memanfaatkan TVET,” katanya semasa merasmikan Majlis Karnival TVET dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kolej Vokasional (KV) Bintulu 2022 pada Ogos lepas.
TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.
Datuk Roland memberitahu, inisiatif dalam menjenamakan semula TVET adalah salah satu kaedah mempromosi laluan tersebut sebagai karier pilihan seperti pengiktirafan ahli teknologi.
Oleh itu tambahnya, usaha menyampaikan maklumat berkaitan visi TVET dan peluang yang terhidang pada masa hadapan turut digiatkan.
“Jika di luar negara, pekerjaan di dalam sektor TVET mampu untuk meraih gaji yang lumayan. Tambahan pula Bintulu merupakan kawasan perindustrian, oleh itu, kesempatan ini perlu direbut oleh pelajar untuk menceburi dalam bidang kemahiran.
“Saya menyeru kepada pihak industri supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada para pelajar,” jelasnya yang berpendapat bahawa pihak industri boleh menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka.
Beliau percaya, langkah sedemikian dapat meningkatkan daya tarikan masyarakat sekali gus menjadikan TVET sebagai pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti negara maju lain.
“STEM sudah bermula di Malaysia beberapa tahun lalu yang mana ia memudahkan cara pembelajaran untuk membantu pelajar lebih memahami konsep serta aplikasi dalam subjek seperti Sains dan Matematik.
“Bagi merealisasikan dasar pendidikan STEM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diberi tanggungjawab menerajui pelaksanaan Inisiatif STEM untuk meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran yang baharu dan pemantapan kurikulum,” ujarnya.
Kata beliau lagi, TVET dan STEM mesti saling melengkapi antara satu sama lain kerana pelajar juga perlu menguasai kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif agar mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan berdasarkan pemikiran rasional.
“Hasil pembelajaran STEM akan memberi perubahan kepada negara kerana kekurangan pelajar yang mempelajari subjek sains tulen di sekolah mahupun di universiti akan memberi kesan kepada industri dan teknologi di Malaysia pada masa hadapan.
“Sehubungan itu, anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET,” jelas beliau.
Dengan memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional, Datuk Roland percaya bahawa ia dapat menjana tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten serta mampu melahirkan usahawan tempatan yang menyediakan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat setempat.
Oleh CAROLYNE UTIH