AHMAD Tarmizi Ahmad Sabirin dan isterinya, Aminur Amira Norasri berjaya bersama-sama menggunakan peluang sebaik-baiknya dalam sektor pertanian untuk menjana pendapatan pada usia muda.
Ahmad Tarmizi, 26, dan Aminur, 29, merupakan pengusaha Cili Gronong dan mempunyai ladang sendiri iaitu Sungai Jaong Farm (SJ Farm) di Taman Kekal Pengeluar Makanan (TKPM) di Rampangi, Kuching.
Selain daripada tanaman Cili Gronong, Tarmizi dan isteri turut menanam Cili Naga Viper dan Cili Kulai.
Kaedah tanaman yang digunakan adalah kaedah fertigasi dan sistem Internet Bendaan (IoT) yang menggunakan aplikasi di dalam telefon untuk memudahkan kerja tanaman mereka.
Fungsi sistem IoT ini memerlukan internet untuk menjalankan kaedah fertigasi. Contohnya, Tarmizi boleh menjalankan tanaman mereka hanya menggunakan telefon dengan menetapkan masa di dalam aplikasi IoT dan sistem tersebut boleh memantau tanaman melalui Kamera Litar Tertutup (CCTV).
Ketika ditemu bual oleh wartawan Utusan Sarawak, Tarmizi berkata mereka bermula terlibat dalam pertanian pada tahun 2014 dengan membuat kerja sambilan membantu keluarganya menanam tanaman cili di kampungnya.
“Dulu kami berdua bekerja di dalam syarikat pertanian abang saya selama enam tahun dan selepas itu saya cuba mengumpul duit untuk menjalankan perniagaan sendiri.
“Alhamdulillah, sekarang SJ Farm sudah berjaya beroperasi selama dua tahun.
Tarmizi dan isteri mendapat bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dari segi permulaan kos, tempat, peralatan.
“Sebelum mendapat bantuan dari kerajaan, pihak kerajaan mahu melihat usaha, hasil tanaman mereka sebelum ditemu duga.
“Kami bermula tanaman cili ini dengan menanam sebanyak 200 pokok dengan bermodalkan RM1,000 menggunakan duit sendiri.
“Agak susah kami mendapat mendapat bantuan kerajaan kerana ramai orang yang memohon bantuan ini melalui temu duga,” katanya lagi.
Kata Tarmizi, beliau memilih untuk menanam Cili Gronong kerana rakyat Sarawak kena pandai ambil peluang sebab asal usul Cili Gronong ini dari negara Mexico dan hanya negeri Sarawak sesuai untuk menanam cili ini.
“Kami mengambil peluang untuk pasarkan Cili Gronong ini di Sarawak namun sebelum ini agak sukar untuk mengubah persepsi orang terhadap cili ini.
“Majoriti orang akan mengatakan Cili Gronong ini terlalu pedas tetapi sama sahaja dengan jenis cili-cili lain.
“Sebelum ini, kebanyakan Cili Gronong ini banyak permintaan daripada orang Semenanjung dan dieksport ke sana dan sekarang, orang Sarawak pun banyak membeli cili ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Tarmizi turut menjelaskan semasa PKP dulu adalah kemuncak jualan Cili Gronong ini.
Sementara itu, Tarmizi juga mengatakan kenaikan harga barang dan makanan turut memberi kesan kepada perniagaan mereka.
“Makanan asas untuk tanaman iaitu baja, kalau harga baja naik sudah tentu harga barang lain juga akan naik.
“Namun, kadar jualan cili kami tidak terjejas kerana ramai orang faham kenapa harga cili semakin mahal kerana faktor kenaikan harga barang. Di samping itu, harapan Tarmizi serta Aminur terhadap pertanian cili adalah agar golongan muda berani untuk menyahut cabaran dan bijak mengambil peluang untuk mendapat pendapatan melalui bidang pertanian.
Oleh MOHD NEENATUL AIZAL