Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Perkasa ekosistem pembangunan atlet, kepimpinan belia
  • TEMPATAN

Perkasa ekosistem pembangunan atlet, kepimpinan belia

Utusan Sarawak 3 months ago
RAKAM KENANGAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama penerima geran.

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam membangunkan belia dan sektor sukan dengan memperuntukkan RM1.89 juta kepada 42 persatuan belia dan sukan dalam usaha memperkasakan ekosistem pembangunan atlet dan kepimpinan belia.

Geran tersebut disampaikan semasa majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan Negeri Sarawak 2025 dan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Majlis tersebut menyaksikan peruntukan dana sejumlah RM434,600 disalurkan kepada lima persatuan belia, manakala 37 persatuan sukan yang lain menerima peruntukkan sebanyak RM1.46 juta.

Menurut Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bantuan ini bukan sekadar sokongan kewangan tetapi juga satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha persatuan dalam mencungkil bakat baharu serta membangunkan potensi belia dan atlet di Sarawak.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan penyampaian Geran Belia dan Sukan Negeri Sarawak 2025.

“Geran ini adalah bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan belia dan sektor sukan terus berkembang.

“Ia juga sejajar dengan visi kerajaan untuk menjadikan belia kita lebih progresif, berdaya saing dan inovatif,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pembangunan belia dan sukan tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, tetapi juga memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Dengan adanya sinergi ini, pembangunan sektor belia dan sukan akan lebih mampan dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi negeri mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap semasa majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan Negeri Sarawak 2025.

Tambahnya, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM280.7 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2025 bagi pembangunan dan penambahbaikan kemudahan sukan.

“Perkara ini merupakan antara usaha kerajaan memperkasakan infrastruktur sedia ada serta memperluaskan program latihan.

“Melalui usaha berterusan seperti ini, lebih banyak peluang pembangunan bakat dapat diwujudkan dalam kalangan atlet tempatan.

“Sehubungan itu, saya menggesa agar semua penerima geran memanfaatkan dana yang diperoleh dengan penuh tanggungjawab dan komitmen tinggi,” ujarnya.

Beliau juga berharap persatuan belia dan sukan dapat merancang program berkualiti yang mampu melahirkan individu berkemahiran, kreatif dan berinovasi.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Tuan Morshidi Fredrick; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Tuan Dolhadi Mazuki; ketua-ketua jabatan serta pengerusi-pengerusi persatuan belia dan sukan.

Kerajaan Sarawak yakin bahawa dengan sokongan semua pihak, Sarawak mampu menjadi pusat kecemerlangan sukan dan melahirkan lebih ramai atlet serta pemimpin belia berkaliber yang akan mengharumkan bukan sekadar nama Sarawak tetapi juga Malaysia di pentas dunia.
Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sukan Borneo dihidupkan kembali
Next: Banjir: Hanya 10 PPS beroperasi, mangsa di Mukah mula menurun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.