TERENGGANU FC sekadar membawa bekalan tipis apabila mengatasi Sarawak United FC 2-1 dalam aksi suku akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Keputusan itu sedikit sebanyak melegakan Sarawak United yang berjaya membawa pulang satu gol berharga dari tempat lawan sebelum aksi timbal balik pada Khamis ini.
Sarawak United FC yang kali terakhir layak ke separuh akhir pada 2013, yang berkunjung ke Kuala Terengganu dengan reputasi selaku Naib Juara Liga Premier tahun ini di samping masih segar dengan kejayaan menyingkirkan dua pasukan Liga Super , Penang FC dan Sri Pahang FC dalam kempen kali ini.
Dalam perlawanan tersebut, pemain Terengganu FC, Faisal Abdul Halim, terlebih dahulu menceriakan 8,700 penyokong sendiri hasil rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gawang pelawat, Mohd Sharbinee Allawee pada minit ke-17.
Tersentak dengan asakan tuan rumah, Sarawak United FC mula memberi cabaran dengan formasi serangan yang lebih tersusun menerusi gandingan Sandro Da Silva dan Uche Agba.
Gol penyamaan Sarawak United hadir pada minit -21 apabila pemain tuan rumah, Shahrul Nizam tertampal bola lintang hantaran Tommy Mawat Bada.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC kembali mendahului hasil jaringan Mohd Faiz Nasir pada minit ke-51 yang menyambar hantaran ke belakang oleh Jordan Mintah bagi menewaskan Sharbinee buat kali kedua.
Keputusan berkenaan kekal hingga permainan berakhir namun Sarawak United FC masih berpeluang mara ke separuh akhir berbekalkan jaringan gol satu yang dibawa pulang.
Begitupun, skuad kendalian E Elavarasan perlu menang dengan keputusan sekurang-kurangnya 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua pada Khamis ini di Stadium UiTM Shah Alam.
Oleh ADI SAFARMAN