KUCHING: Para pemilik kedai diingatkan untuk memeriksa pendawaian dalaman premis mereka setiap 10 tahun bagi mencegah kebakaran dan memastikan keselamatan bangunan.
Naib Presiden (Pengagihan) Sarawak Energy Berhad, Choo Min Chong menjelaskan bahawa program Sarawak Energy melibatkan pemeriksaan pendawaian utama setiap tiga hingga lima tahun menggunakan teknologi pengimbasan haba untuk mengesan titik panas.
Bagaimanapun, pendawaian dalaman kekal menjadi tanggungjawab pemilik premis.
“Pendawaian dalaman perlu diperiksa sekurang-kurangnya sekali setiap 10 tahun untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik dan mencegah risiko terlalu panas yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena pemeriksaan pendawaian elektrik di Jalan Padungan bersama Sarawak Energy (SEB), hari ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng menekankan kepentingan sejarah kawasan Padungan, yang kini berusia 100 tahun, serta keperluan penjagaan rapi bagi memelihara bangunan warisan di kawasan itu.
“Pencegahan lebih baik daripada merawat. Jika anda ingin terus menikmati kemakmuran Padungan, anda perlu mengambil langkah untuk melindungi harta benda anda. Kebakaran bukan sahaja memusnahkan bangunan tetapi juga boleh meragut nyawa,” katanya.
Wee menggesa para peniaga untuk mendapatkan perkhidmatan profesional bertauliah yang disenaraikan di laman web Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak (SESCO) bagi tujuan pemeriksaan pendawaian dalaman.
“Jangan berkompromi soal keselamatan dengan mengupah juruelektrik yang tidak bertauliah hanya kerana harganya lebih murah,” tambahnya.
Kempen ini akan diperluaskan ke kawasan lain di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Dengan insiden kebakaran yang dilaporkan di kawasan Padungan sebelum ini, Wee mengingatkan para pemilik kedai tentang tanggungjawab mereka untuk melindungi premis dan penyewa mereka.
Oleh Amanda L.