KENANGAN … Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bergambar bersama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia,
Tuan Yang Terutama B.N. Reddy serta yang lain ketika B.N. Reddy serta rombongannya membuat kunjungan hormat
di pejabat Timbalan Premier Sarawak itu di Kuching, semalam.
KUCHING: Jumlah perdagangan antara Sarawak dan India setakat tahun lepas adalah bernilai RM9.933 bilion.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, perdagangan ini terdiri daripada eksport minyak sawit dan minyak petroleum serta import bijih aluminium, logam bukan ferus dan banyak lagi.
“Ruang bagi mewujudkan dan mengembangkan perniagaan antara Sarawak dan India masih terbuka luas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama B.N. Reddy di pejabatnya di sini semalam.
Pada majlis kunjungan hormat itu juga, Awang Tengah dan Duta India berkenaan bertukar-tukar idea dan pandangan mengenai pelbagai perkara dan ini termasuk kesediaan kedua-dua pihak bekerjasama dalam bidang digital, semikonduktor, biofarmaseutikal, pelancongan, pembinaan dan pertanian komersial.
Dalam pada itu juga mempelawa syarikat India untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak, khususnya dalam ekonomi digital.
“Hal ini demikian kerana India mempunyai kepakaran dalam bidang itu,” katanya.
Turut hadir Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais, Ketua Setiausaha Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, C. Sushma, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Pengurus Besar STIDC, Datu Hashim Bojet dan Pengerusi Asas Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM), Datuk Umang Sharma.
Oleh NICKELYSON LAKUN