BEBERAPA Ahli Parlimen yang melompat parti sebelum ini kini sedang dalam proses mencari arah, tempat dan kedudukan. Ahli Parlimen Bebas Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengakui beliau sedang mencari ‘saluran’ untuk membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Dengan kata lain, beliau mahu mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Masir menjadi Ahli Parlimen sejak 2008 dan pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Pada 2013 dan 2018, beliau juga bertanding atas tiket Parti Rakyat Sarawak (PRS), kemudian keluar parti pada 2019 untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Beberapa bulan selepas pilihan raya negeri Sarawak, Masir mengumum keluar PSB. Tindakan ini dilakukan disebabkan sebelum ini beliau melihat PSB mampu menjadi kuasa politik yang kuat.
Namun, dalam PRN Sarawak Disember lalu, PSB tewas teruk dan Masir sendiri kalah di tangan Snowdan Lawan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin yang memperoleh 4,816 undi berbanding Masir 3,531.
Berdasarkan kekalahan besar PSB dalam PRN itu, Masir keluar PSB Mac lalu dan mengumumkan sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra kepada kepemimpinan Perdana Menteri. Ini merupakan jalan selamat yang terbaik beliau ambil kerana mengharapkan Perdana Menteri akan percaya beliau mampu menambahkan sokongan kedudukan kerajaan yang ada sekarang.
Modal kekal berpolitik
Ketika PRU 2018, Masir bertanding atas tiket PRS, maka segala jentera dan akar umbi parti menyokong beliau bertanding. Sebab itu, beliau mendapat undi sebanyak 61 peratus, iaitu sejumlah undi cukup besar yang menunjukkan populariti Masir di kawasan Sri Aman.
Namun perlu diingat, tanpa menggunakan logo PRS agak sukar beliau mempertahankan prestasi baik itu. Jika PRS mempunyai calon muda yang lebih baik, berpretasi dan memenuhi cita rasa pengundi di Sri Aman, Masir boleh tewas pada pilihan raya umum akan datang.
Kesemua ini bergantung kepada Presiden PRS sama ada mahu menerima kembali Masir bersama PRS, atau menolak Masir sebagai hukuman kepada beliau yang mudah keluar parti. Jika ini berlaku, ia juga sebagai mesej kepada pemimpin PRS lain agar setia kepada parti khususnya ketika PRS bersama blok BN ketika itu tewas dalam pilihan raya umum dan tidak dapat membentuk kerajaan.
Tindakan ini juga menunjukkan ketegasan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum dalam menangani masalah pemimpin yang cepat berubah pendirian politik. Sudah tentu Masir mahu berpaut kepada parti yang lebih kuat dan ada masa depan.
Mahu tak mahu, PRS masih dianggap sebagai parti pilihan yang sukar untuk ditolak kekuatan sebenar yang ada. Kekalahan beberapa kerusi PRS pada PRU 2018 lebih banyak disebabkan sabotaj dan krisis dalaman PRS sendiri, bukannya disebabkan oleh pengundi yang memilih pembangkang.
PBM bukan pilihan
Sudah pasti, pilihan terbentang luas dan mudah adalah untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diketuai Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng. Namun PBM sendiri bukanlah parti yang kuat walaupun baru-baru ini PBM telah bergabung dengan Parti Kuasa Rakyat.
Parti Kuasa Rakyat yang dipimpin Kamarazaman Yaakob iaitu abang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengumumkan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini. Meskipun kedua-dua parti ini bakal digabungkan, kekuatan akar umbi belum teruji lagi.
Hal ini kerana penyandang kerusi yang ada semuanya dari parti lain sebelum ini. Hal ini bermakna jika ada pilihan raya umum, belum tentu pengundi sebelum mengundi kembali kepada wakil rakyat mereka yang telah melompat parti.
Situasi ini nampaknya difahami oleh Masir dan sebab itu beliau tidak tergerak hati menyertai PBM. Tambahan pula, di Sarawak peluang PBM memenangi mana-mana kerusi pada PRU akan datang sangatlah tipis kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) dianggap terlalu dominan dan hampir sukar dikalahkan.
Jugah Muyang
Begitu juga Jugah Muyang yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Lubok Antu pada pilihan raya umum 2018. Beliau bekas timbalan pengerusi PRS bahagian Engkilili dan bekas pengerusi PRS Sujut. Jugah keluar PRS menjelang pilihan raya umum 2018 dan menang bertanding atas tiket Bebas, telah mengikut arus politik semasa apabila mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat, selepas Pakatan Harapan menang di Putrajaya.
Namun selepas Langkah Sheraton telah memenangkan Perikatan Nasional, beliau pula mengumumkan menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terus menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Menyimpan hasrat bertanding
Jugah pernah memberitahu pihak media bahawa beliau masih menyimpan harapan untuk menyertai semula PRS menjelang PRU-15. Beliau mendakwa penyokong akar umbinya dan beberapa ahli PRS sedang memohon kelulusan pimpinan parti bagi permohonan keahlian, namun terdapat bantahan oleh PRS cawangan Batang Ai dan Engkilili.
Hasrat beliau bertanding semula itu, juga beliau dakwa sudah mendapat restu daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyertai PRS.
Harapannya untuk menyertai PRS sangat tinggi dan berharap keputusan pihak tertinggi PRS berpihak kepadanya. Dikatakan 80 peratus ketua rumah panjang atau kampung di kawasan Lubok Antu telah menandatangani (menyokong) akuan berkanun (SD) dan memorandum telah diserahkan kepada timbalan presiden dan setiausaha agung PRS. Tiga puluh dua daripada mereka terdiri daripada ketua rumah panjang.
Namun menurut Ketua Pemuda PRS, Snowdan Lawan, permohonan Jugah Muyang untuk menyertai PRS masih di bawah dulang “Keep In View” (KIV) seperti yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti itu. Hal ini kerana permohonan itu mendapat bantahan keras daripada ahli parti yang tidak berpuas hati terutama dari bahagian Engkilili yang mempersoalkan motif Jugah untuk menjadi ahli PRS semula pada peringkat ini. Mereka tidak mahu calon yang bertanding Bebas kembali bertanding atas tiket PRS seolah-olah PRS tidak ada calon mereka sendiri di Parlimen Lubok Antu.
Calon lain
Pada masa sama, sudah ada nama calon lain dinamakan untuk bertanding atas tiket PRS. Beliau ialah Pengerusi Cawangan Engkilili, iaitu peguam yang juga kanselor Roy Gingkoi. Pengumuman ini dibuat Presiden PRS sendiri, Joseph Salang baru-baru ini pada Majlis Randau Ruai Rakyat di Engkilili.
Keputusan ini dipersetujui ADUN Batang Ali, ADUN Tamin, ADUN Pelagus dan lain-lain. Sokongan oleh kesemua ADUN itu penting kerana merekalah yang menentukan sokongan akar umbi pada pilihan raya umum nanti.
Sudah pasti, situasi ini memberi cabaran besar buat Jugah Muyang kerana calon Lubok Antu telah diumumkan. Sekali pun mungkin keahlian menjadi ahli PRS diterima, namun tidak semestinya menjadi calon Parlimen tersebut.
Pengerusi GPS pula menyerahkan keputusan tersebut kepada pihak pimpinan tertinggi PRS kerana ia bukan urusan parti PBB. Mahu tak mahu, Jugah mungkin kembali bertanding atas tiket Bebas. Namun, kali ini bukan sahaja PRS, akan tetapi GPS tidak akan memberi laluan yang mudah kepada Jugah.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)