MULA… Dato Gerald Rentap Jabu bersama tetamu kehormat lain melakukan perlepasan untuk para peserta berbasikal pada sambutan HSN 2022 Peringkat Sarawak di Dewan Suarah Bintulu, semalam.
FASILITI dan aktiviti kesukanan perlu diperbanyakkan bagi mencapai maltamat Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2023 menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2023.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan), Dato Gerald Rentap berkata, pembangunan sukan khususnya di luar bandar perlu diberikan perhatian untuk merealisasikan hasrat itu.
“Saya berharap Kerajaan Sarawak akan memberi lebih tumpuan, bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada samhutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Bintulu di sini, semalam.
Menurutnya, menerusi satu penganjuran sukan di Daro pada bulan lepas, beliau mendapati penglibatan masyarakat luar bandar terhadap aktiviti sedemikian amat menggalakkan dan menerima sambutan memberangsangkan.
Selain itu, Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut memberi cadangan agar Dewan Suarah Bintulu dijadikan sebagai pusat pembangunan E-Sukan bagi Negeri Sarawak.
Ini kerana, tambahnya, ia adalah selaras dengan perkembangan sukan itu yang kini semakin mendapat perhatian sehingga ke pentas dunia seperti sukan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau juga berharap Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dapat mengadakan ‘Fun Ride’ atau aktiviti berbasikal dalam kalangan kakitangan dan keluarga mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Ujarnya, aktiviti sebegitu mampu memupuk budaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka.