
SARATOK: Ramadan adalah bulan yang mulia dan kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, Islam mengajar untuk membantu golongan yang memerlukan dalam pelbagai bentuk.
“Amalan bersedekah amat digalakkan dalam bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka. Selain meningkatkan ibadah, umat Islam perlu memperbanyakan amalan bersedekah pada Ramadan ini kepada orang yang memerlukan.
“Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, Ramadan juga menjadi platform untuk kita saling mengenali dan menghormati kepercayaan serta amalan masing-masing.
“Majlis iftar atau berbuka puasa yang kita adakan pada hari ini bukan sekadar acara untuk menikmati hidangan bersama. Malah lebih daripada itu, ia adalah simbolik kepada semangat kebersamaan dan toleransi antara kita.
“Kehadiran pelbagai kaum dan agama dalam majlis Iftar Ramadan merupakan satu keunikan betapa hubungan persaudaraan masyarakat di negeri kita Sarawak ini begitu kukuh walaupun berbeza kaum dan agama,” katanya.



Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Iftar anjuran ADUN Kalaka dengan kerjasama Kejuruteraan Rasshin Sdn Bhd, Edotco Malaysia Sdn Bhd serta Pejabat Daerah Saratok yang berlangsung di Masjid Al Muhtadin Saratok, petang semalam.
Mohamad Duri berkata sebagai wakil rakyat, beliau amat menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh semua pihak di dalam usaha mengimarahkan Ramadan al-Mubarak.
“Insya-Allah, saya akan terus menyokong program keagamaan dan kebajikan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat kita sentiasa terpelihara.
“Kehadiran rakan-rakan yang bukan beragama Islam dalam majlis kita petang ini menunjukkan bahawa kita menghargai dan menghormati kepelbagaian yang ada, serta komitmen kita untuk terus memupuk semangat muhibah dalam masyarakat.
“Budaya ini perlu kita pertahankan bagi mewujudkan kebersamaan ke arah membina sebuah negara bangsa yang aman dan harmoni dan dalam konteks Sarawak, sebuah negeri yang maju dan makmur,” katanya.
Antara pengisian program tersebut adalah tazkirah oleh Ustaz Mohd Isselahuddin Kameri dan turut disampaikan sumbangan berupa beras sumbangan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) kepada beberapa orang asnaf yang telah dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Al Muhtadin.
Turut diadakan simbolik penyampaian geran peruntukan kepada pihak Masjid Al Muhtadin dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta beberapa persatuan.
Oleh Adi Saparman