
KUCHING: Perarakan Gawai Dayak di Sungai Apong Baru hari ini mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di sini apabila sambutan itu diraikan bersama dalam suasana penuh meriah dan muhibah.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar perarakan biasa, sebaliknya mencerminkan semangat perpaduan, persahabatan, budaya dan kebersamaan komuniti.
Menurutnya, beliau gembira melihat masyarakat daripada pelbagai kaum dan latar belakang hadir bersama meraikan Gawai Dayak dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekitaan.
“Pagi ini kita menyaksikan perarakan yang dipenuhi pakaian tradisional berwarna-warni, muzik tradisional, persembahan kebudayaan dan semangat komuniti yang cukup meriah.


“Amat membanggakan apabila Bumiputera, Melayu, Cina dan pelbagai kaum lain berjalan bersama serta meraikan Gawai Dayak sebagai satu komuniti,” katanya ketika berucap pada Perarakan Gawai Dayak di Sungai Apong Baru, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kepelbagaian budaya dan agama merupakan kekuatan utama masyarakat yang terus menghormati antara satu sama lain serta hidup seperti sebuah keluarga besar.
Tambahnya, program komuniti seperti itu penting bagi merapatkan hubungan kejiranan, mengukuhkan persahabatan dan meningkatkan persefahaman dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata MBKS akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Sungai Apong Baru dan seluruh kawasan Kuching Selatan.
Katanya, pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur, program komuniti, inisiatif alam sekitar, kempen kebersihan awam serta kemudahan rekreasi telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu demi manfaat penduduk setempat.
“Kita akan terus menambah baik kemudahan awam, jalan raya, sistem perparitan, pencahayaan, taman dan ruang komuniti supaya Sungai Apong Baru kekal bersih, selamat dan selesa untuk semua,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penganjur termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Team Dynamic dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Apong Baru yang menjayakan sambutan berkenaan.
Oleh Adele Rissa