KUALA LUMPUR: Perak FC melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.
Turun dengan semangat berpasukan yang tinggi, kedua-dua pasukan mempamerkan serangan bertali arus sebelum pemain import Bos Gaurus, Luciano Guaycochea berjaya membuka tirai jaringan dengan menanduk masuk hantaran Shafizi Iqmal Md Khirudin seawal minit ke-13.
Enggan menyerah di laman sendiri, Cats kembali memperkemaskan corak permainan untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan kencang Abu Kamara pada minit ke-32.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah tampil dengan aksi lebih agresif apabila melakukan beberapa percubaan namun berjaya dinafikan penjaga gawang pasukan pelawat, T. Shaheeswaran.
Kemasukan penyerang Korea Selatan, Seo Seonung pada minit ke-61 menyaksikan beliau menjadi wira pasukan apabila meledak gol kemenangan dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-80.
Sementara itu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan PDRM FC berjaya mengikat seri 0-0 ketika menentang Terengganu FC malam tadi.
Skuad Sang Saka Biru terlebih dahulu memberi amaran kepada pasukan Penyu melalui beberapa serangan berbahaya pada minit ke-30 menerusi sepakan di hadapan gol oleh Mohamad Nabil Ahmad Latpi namun dinafikan penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan melancarkan serangan dengan melakukan beberapa percubaan menarik untuk memecahkan kebuntuan dengan pemain PDRM, Muhammad Amirul Wa’ie Yaacob hampir meledak gol namun berjaya dipintas pemain pertahanan Terengganu Shahrul Nizam Ros Hasni pada hujung permainan. – Bernama