KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak mengikut langkah seperti di Semenanjung yang memansuhkan peperiksaan di sekolah kerana mahu melahirkan lebih ramai golongan profesional.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peperiksaan adalah perkara penting untuk menilai tahap penguasaan anak-anak dari segi kefahaman dan kefasihan mereka dalam pelbagai bidang.
“Peperiksaan juga diperkenalkan adalah untuk membantu anak-anak sekolah berani menghadapi cabaran dialam persekolahan demi melahirkan lebih ramai golongan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Apresiasi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini malam tadi.
Abang Johari menjelaskan peperiksaan Pentaksiran Standard itu dengan tujuan menilai kemajuan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Katanya, penguasaan dua bahasa di Sarawak adalah penting untuk mempraktik anak-anak sarawak menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebaik mungkin.
Selain itu, beliau yang juga mantan Menteri Pendidikan itu memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak tidak akan memandang enteng terhadap pendidikan di negeri ini
Abang johari menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak optimis dalam memastikan anak-anak sarawak mendapat pendidikan yang secukupnya.
Semua pelajar Program Dwibahasa (DLP) Sarawak di Tahun 6 mulai 2025, dan Tingkatan 3 mulai 2028 akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Standard.
Ini adalah peperiksaan sendiri dirangka kerajaan Sarawak bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan bantuan kepakaran Cambridge University Press and Assessment.
Perubahan dalam sistem penilaian ini berlaku selepas Kerajaan Persekutuan memansuhkan pentaksiran tingkatan 3 pada Jun 2022, berikutan kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ujian tersebut tidak dilaksanakan pada 2020 dan 2021. Selain itu, UPSR untuk darjah enam juga dibatalkan pada 2021.
Ujian UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima. Namun pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan pemansuhan peperiksaan terbabit susulan pandemik COVID-19.
Isu ini menjadi polemik tahun lalu kerana ramai pihak di seluruh negara mahu ia dihidupkan semula.
Bagaimanapun, pada Oktober 2023, Menteri Pendidikan memaklumkan UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa untuk menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka. Sebaliknya, tumpuan KPM ialah Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum baharu, bagi memastikan pendidikan masa depan yang lebih baik.
Berikutan itu, Sarawak mengambil tindakan berani untuk melaksanakan sendiri penanda aras pencapaian murid setelah KPM memutuskan untuk tidak mengembalikan UPSR, sekali gus muncul sebagai negeri pertama berbuat demikian.
Oleh Noor Ikmal