Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Pepe bawa Ivory Coast mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia, Curacao tersingkir
  • SUKAN

Pepe bawa Ivory Coast mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia, Curacao tersingkir

Utusan Sarawak 6 hours ago
CHRIST Inao Oulai dari Ivory Coast mengawal bola sambil diasak pemain Curacao, Tyrese Noslin, dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia FIFA 2026 antara Curacao dan Ivory Coast di Stadium Philadelphia, Pennsylvania, sebentar tadi. Foto AFP

PHILADELPHIA: Nicolas Pepe meledak dua gol ketika Ivory Coast menewaskan Curacao 2-0 sebentar tadi, sekali gus mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat julung kalinya dalam sejarah, sambil menamatkan perjalanan negara kecil Caribbean itu dalam kejohanan berkenaan.

Bekas penyerang Arsenal yang kini beraksi bersama Villarreal di Sepanyol itu membuka jaringan seawal minit ketujuh di Philadelphia sebelum menambah gol kedua sejurus selepas sejam permainan.

Kemenangan itu menyaksikan Ivory Coast menamatkan saingan Kumpulan E dengan enam mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Ecuador pada aksi pembukaan, sebelum tewas 1-2 kepada Jerman.

Keputusan itu membolehkan mereka mara sebagai naib juara kumpulan di belakang Jerman berdasarkan rekod pertemuan sesama sendiri, meskipun skuad Jerman tewas 1-2 kepada Ecuador dalam satu lagi aksi yang berlangsung serentak di New Jersey.

Juara Afrika 2024 itu sebelum ini tidak pernah melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan terdahulu di Piala Dunia. Sebagai ganjaran kepada pencapaian bersejarah itu, mereka bakal beraksi dalam pusingan 32 terbaik menentang naib juara Kumpulan I di Dallas, Selasa depan.

Lawan mereka berkemungkinan sama ada Perancis – negara kelahiran Pepe serta beberapa pemain Ivory Coast yang lain – atau Norway, sekali gus menjanjikan cabaran sukar.

Bagi Curacao yang mempunyai populasi sekitar 160,000 penduduk, kejayaan layak ke Piala Dunia sudah dianggap satu pencapaian bersejarah. Namun, negara terkecil pernah beraksi di pusingan akhir itu menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang kemenangan.

Skuad kendalian Dick Advocaat memulakan kempen dengan kekalahan besar 1-7 kepada Jerman, namun berjaya mengikat Ecuador tanpa jaringan dalam perlawanan kedua selepas bertahan cemerlang sepanjang aksi.

JOSHUA Brenet (kiri) dari Curacao bersaing merebut bola dengan pemain Ivory Coast, Bazoumana Toure, dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia FIFA 2026 antara Curacao dan Ivory Coast di Stadium Philadelphia, Pennsylvania, sebentar tadi. Foto AFP

Mereka gagal mengulangi persembahan itu kali ini, namun tetap memberikan saingan sengit di hadapan 68,324 penonton yang memenuhi Lincoln Financial Field. Kehadiran penuh pada petang Khamis itu menjadi bukti bahawa Piala Dunia semakin mendapat tempat di Amerika Syarikat.

Penyokong Ivory Coast yang membanjiri stadium dengan jersi berwarna oren tidak menunggu lama untuk meraikan gol pembukaan.

Bintang muda sensasi kejohanan, Yan Diomande, mencipta peluang itu apabila pemain sayap RB Leipzig tersebut memperdayakan pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada Pepe untuk mudah menyudahkannya.

Sepuluh daripada kesebelasan utama Curacao dilahirkan di Belanda, manakala ramai pemain mereka pernah mewakili skuad kebangsaan Belanda di pelbagai peringkat termasuk pasukan senior.

Curacao tetap mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk percubaan jarak jauh Jurien Gaari yang sekadar tersasar tipis serta rembatan Leandro Bacuna yang melewati gawang pada penghujung babak pertama.

NICOLAS Pepe meraikan gol kedua peribadinya ketika membantu Ivory Coast menewaskan Curacao 2-0 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Philadelphia, Pennsylvania, sebentar tadi. Foto AFP

Sherel Floranus turut hampir menjaringkan gol sejurus babak kedua bermula, namun Curacao gagal bangkit selepas ketinggalan 0-2 pada minit ke-64.

Pemain tengah Nottingham Forest, Ibrahim Sangare, mencipta gol kedua menerusi hantaran menembusi benteng pertahanan kepada Pepe yang mengawal bola dengan baik sebelum melepasi penjaga gol, Eloy Room, dan merembat ke penjuru jauh gawang.– AFP

Continue Reading

Previous: Ecuador bangkit tewaskan Jerman 2-1, tempah tiket ke pusingan 32
Next: Plata akui laluan sukar jadikan kejayaan Ecuador lebih manis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.