THE HAGUE: Penyiasat antarabangsa berkata mereka akan mendedahkan hasil siasatan ke atas pihak lain yang dipercayai terbabit dalam menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17 bulan depan, selepas tiga orang didapati bersalah tahun lalu.
Penemuan itu dijangka menyentuh mengenai penyelidikan mereka berhubung siapa dalang sebenar mengarahkan serangan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat itu di timur Ukraine pada 2014, dan pihak yang membekalkan peluru buatan Russia itu.
Seorang warga Russia dan seorang warga Ukraine dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadiran kerana membunuh oleh mahkamah Belanda pada November lalu.
Bagaimanapun, mereka didapati tidak menyebabkan tembakan dilepaskan, sebaliknya hanya membantu membawa peluru berpandu berkenaan ke Ukraine.
Pada sidang akhbar di The Hague yang dijadualkan pada 8 Februari depan, penyiasat akan mendedahkan hasil siasatan sedang dijalankan terhadap pihak lain yang terbabit dalam nahas pesawat MH17, kata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, waris mangsa akan dimaklumkan terlebih dulu mengenai perkara itu.
“Selain pembabitan DPR (Republik Rakyat Donetsk), JIT juga menyiasat anak kapal Buk-TELAR dan mereka bertanggungjawab membekalkan sistem senjata Russia yang menyebabkan MH17 terhempas,” katanya.
Hakim Belanda mendapati warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky selain Leonid Kharchenko dari Ukraine adalah ahli kumpulan pemisah DPR, kumpulan yang dikawal oleh Moscow.
Hakim bagaimanapun berkata, tidak jelas siapa sebenarnya mengendalikan sistem peluru berpandu BUK ketika pesawat itu ditembak jatuh.
Kesemua 298 orang di dalam pesawat itu terbunuh apabila ia ditembak di timur Ukraine yang dikuasai pemisah pada 17 Julai 2014.
Russia menafikan sebarang pembabitan dalam serangan menembak jatuh pesawat itu, atau peranan mengawal kumpulan pemisah.
JIT terdiri daripada ahli dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, negara yang paling teruk terjejas akibat nahas pesawat Boeing 777 itu.
Hakim hak asasi Eropah di Strasbourg pada Isnin lalu secara berasingan memutuskan bahawa kebanyakan aduan yang dikemukakan oleh Belanda mengenai MH17 boleh diterima. – AFP