Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Penyelidik Australia guna penyu untuk jejak siklon tropika
  • GLOBAL

Penyelidik Australia guna penyu untuk jejak siklon tropika

Utusan Sarawak 7 hours ago
ALAT pengesan dipasang pada cangkerang penyu bagi merekodkan data suhu laut dalam kajian penjejakan siklon tropika oleh penyelidik Australia. Foto AGENSI

SYDNEY: Penyu yang dipasang dengan alat pengesan dan sensor oseanografi membantu saintis di Australia meningkatkan ketepatan ramalan siklon tropika dengan mengumpulkan data penting dari kawasan laut yang sukar diakses, lapor Xinhua.

Penyu yang digunakan untuk menjejaki siklon itu mengumpulkan maklumat yang berpotensi merevolusikan kaedah ramalan siklon tropika sekali gus meningkatkan keselamatan serta daya tahan komuniti ketika musim siklon, menurut kenyataan Universiti New South Wales (UNSW) Australia semalam.

Pasukan penyelidik menganalisis data daripada puluhan penyu spesies Olive Ridley dan Flatback yang dipasang alat pengesan antara 2014 hingga 2024 di seluruh utara Australia.  Penyu terbabit merekodkan lebih 8,000 profil suhu laut pada kedalaman sehingga 80 meter sebelum, semasa dan selepas berlakunya siklon.

Menurut kenyataan itu, peralatan berkenaan dilekatkan pada cangkerang penyu menggunakan pelekat khas yang akan terurai secara semula jadi apabila terdedah kepada minyak semula jadi pada cangkerang penyu, dan mampu kekal terpasang sehingga setahun. 

Penyelidik menjelaskan bahawa ribut tropika memperoleh tenaga daripada suhu laut yang panas, namun ramalan semasa kebanyakannya hanya bergantung pada suhu permukaan laut dan tidak mengambil kira data dari lapisan air yang lebih dalam, sekali gus menjejaskan ketepatan ramalan, terutama di kawasan terpencil.

“Penyelidik menggunakan kaedah tradisional seperti kapal dan peluncur oseanografi hanya mampu mengambil sampel di kawasan yang kecil, manakala mendapatkan bacaan di tengah-tengah siklon pula amat berbahaya,” kata pakar oseanografi Christopher Chapman dari UNSW Canberra yang mengetuai kajian itu, yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Research Letters.

Chapman berkata data yang dikumpulkan oleh penyu semasa lima kejadian siklon tropika, termasuk Siklon Ilsa Kategori 5 pada 2023, menunjukkan penyejukan ketara berlaku di bawah ribut apabila tiupan angin mencampurkan air permukaan dengan lapisan air yang lebih dalam. Proses ini kurang diambil kira dalam model ramalan sedia ada, menyebabkan kekuatan siklon sering dianggarkan lebih tinggi daripada keadaan sebenar.

Pendekatan yang relatifnya berkos rendah itu berpotensi meningkatkan ketepatan ramalan, khususnya di negara membangun, kerana data dapat dihantar melalui satelit hampir serta-merta. Menurutnya, penyu mungkin menjadi wira yang diperlukan dalam membantu menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat di kawasan tropika, katanya. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Airbus, MTU bangunkan enjin pesawat tanpa pelepasan
Next: 10 kanak-kanak maut dalam tanah runtuh akibat hujan lebat di Bangladesh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.