
SYDNEY: Seorang penyelam maut dalam serangan ikan yu di barat daya Australia pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan media Australia yang memetik polis, lelaki berusia 35 tahun itu digigit ikan yu sepanjang sekitar 4.5 meter ketika menangkap ikan menggunakan lembing tidak jauh dari Pulau Michaelmas, berhampiran bandar Albany.
Mangsa dibawa ke darat dengan bot dan menerima rawatan perubatan segera, namun gagal diselamatkan. Pihak berkuasa menggesa orang ramai di kawasan sekitar pulau itu supaya berhati-hati serta mematuhi penutupan pantai.
Insiden itu merupakan serangan ikan yu ketiga yang mengorbankan nyawa di Australia dalam tempoh sebulan. – Bernama