SAO PAULO: Lima individu termasuk penyanyi Brazil Rick Sollo daripada pasangan penyanyi muzik sertanejo Rick & Renner ditemukan maut pada Selasa selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di kawasan pergunungan di negeri Santa Catarina, selatan Brazil, menurut jabatan bomba, lapor Xinhua.
Helikopter itu dilaporkan hilang pada Isnin selepas berlepas dari Porto Belo di pantai utara negeri itu menuju ke Sao Joaquim, yang diramalkan mengalami cuaca buruk dan ribut petir.
Turut berada di dalam helikopter itu ialah ahli perniagaan Bruno Avelar, jurukamera Paulo Soares, juruterbang dan pembantu juruterbang.
Bangkai helikopter itu ditemukan pada Selasa dalam operasi pencarian yang melibatkan kira-kira 40 anggota bomba, lebih 10 kenderaan dan dron, dua anjing pengesan serta sebuah pesawat dalam keadaan berkabut.
Agensi penerbangan awam Brazil memaklumkan pesawat jenis Bell 430 yang dihasilkan pada 2001 itu mempunyai kebenaran untuk beroperasi.
Rick & Renner merupakan antara pasangan penyanyi muzik sertanejo paling terkenal di Brazil, dengan kerjaya mereka bermula sejak 1980-an. – Bernama-Xinhua





