
KOTA SAMARAHAN: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di KM18, Jalan Kampung Moyan Ulu hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damaterius Lautin berkata kemalangan tersebut berlaku sekitar 1.30 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati penunggang motosikal, Zainal Masri, 32, bersama seorang lagi mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Kampung Moyan Laut dari Asajaya apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan jenis Proton Waja.
Susulan pertembungan tersebut, penunggang motosikal tersebut dilaporkan di Klinik Kesihatan Asajaya manakala pembonceng mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menerima rawatan lanjut.
Selain itu, Damaterius menambah bahawa pemandu kenderaan jenis Proton Waja tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya atau cuai.
Pada masa sama, Damaterius turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Oleh Connie Chieng