KUCHING: Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Empangan Bengoh sekitar 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa yang menunggang motosikal, Willie Ebin berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kemalangan berlaku semasa mangsa yang berasal dari Jalan Puncak Borneo menunggang dari arah Empangan Bengoh menuju ke Kampung Bengoh .
“Mangsa hilang kawalan menyebabkan motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh parit simen di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Akibat rempuhan itu, mangsa cedera dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian. Kemalangan itu juga menyebabkan bahagian hadapan motosikal mangsa rosak teruk,” ujarnya.
Abang Zainal berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Connie Chieng