Nahas helikopter: Lima jasad diserah kepada waris

Facebook
WhatsApp
LIMA individu termasuk seorang juruterbang disahkan maut selepas helikopter dinaiki terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Selasa lalu.

MIRI: Kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, diserahkan kepada waris masing-masing hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata dengan selesainya proses penyerahan itu, urusan seterusnya termasuk membawa pulang jasad ke kampung halaman akan dikendalikan waris dengan bantuan pihak berkaitan.

“ … kita telah menyerahkan kesemua mangsa kepada waris untuk proses selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Hospital Miri, di sini hari ini.

Beliau berkata pengaturan penerbangan akan dibuat mengikut keperluan setiap keluarga, dengan sebahagiannya dijangka diterbangkan esok.

“Sebahagian daripada mereka mungkin menggunakan penerbangan komersial, manakala penerbangan lain turut dipertimbangkan bergantung pada pengaturan yang dibuat,” katanya. 

Polis turut melaksanakan proses pengecaman barangan peribadi mangsa untuk diserahkan kepada waris masing-masing.

Mohamad Zainal berkata siasatan bagi menentukan punca sebenar nahas kini diteruskan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Helikopter yang menjalankan penerbangan FDS itu terhempas di Long Lellang, Baram, pada Selasa lepas, mengorbankan lima individu. – Bernama