VALENTINE NGUMBANG
SAMARAHAN: Golongan netizen mungkin sudah arif dengan gambar tular yang mempamerkan golongan penjawat awam bersama dengan ungkapan ‘Kami Kekal Bekerja Untuk Kalian, Kalian Duduk Untuk Kami’ pada masa sekarang.
Gambar tular ini adalah bertujuan untuk menyedarkan penduduk mengenai pentingnya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping mempamerkan para kakitangan kerajaan yang berjuang di barisan hadapan bagi menentang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Sudah semestinya golongan netizen sedia maklum bahawa barisan wira didendang yang sering ditular dalam gambar berkenaan adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan seperti jururawat, doktor dan polis.
Bagaimanapun, bagi Roy Martin Chenggiam, 37, dari Empili Pantu, golongan kakitangan kerajaan termasuk pekerja swasta yang harus dianggap sebagai wira ketika memerangi Covid-19 ini adalah banyak dan bukan terhad kepada tiga golongan berkenaan.
“Saya bersama rakan sejawatan dari Loji Perawatan Air Sebangan di sini juga harus bekerja pada setiap hari untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air yang bersih dan secukupnya ketika ‘berkurung’ di rumah,” katanya.
Sambil berjauhan daripada isteri dan anak di kampung, penularan Covid-19 kini memberi tekanan terhadap diri Roy yang bertugas merawat dan mengambil sampel air selaras dengan tugasnya sebagai Pembantu Awam di loji berkenaan.
“Walaupun diberi cuti, kami tetap terus bekerja di sini. Ini kerana air dalam loji ini perlu dirawat agar penduduk yang mempunyai akses terhadap bekalan air kami mendapat air bersih pada setiap hari ketika memerangi wabak Covid-19.
“Malahan sampel air juga perlu diambil setiap minggu untuk diuji oleh Jabatan Kimia. Tugas ini kedengarannya amat mudah tetapi apabila negara dilanda wabak Covid-10 maka tahap kesihatan hidup penduduk juga akan menjadi beban kami,” katanya.
Roy berharap, agar dia dan rakan sejawatannya dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin agar Loji Perawatan Air Sebangan dapat terus berfungsi untuk penduduk Samarahan ketika berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan sekarang.
“Justeru saya bersama rakan-rakan di sini berharap agar penduduk tidak ingkar terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan kerana ia amat penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di kawasan kita,” katanya.