KOTA BHARU: Bukan sekadar untuk menjalani hukuman kerana kekhilafan lalu, tempat tinggal di sebalik tembok batu dan tirai besi itu, kini ibarat sebuah ‘universiti’ yang mencorak masa depan lebih gemilang kepada banduan.
Tinjauan Bernama ke bahagian wanita Penjara Pengkalan Chepa di sini mendapati, banduan sudah mula melakar kehidupan baharu yang lebih bermakna apabila mereka meninggalkan tembok batu dan pagar besi itu kelak.
Ada juga yang tidak sabar untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga tercinta, dengan keazaman mampu mengelak daripada mengulangi perlakuan jenayah yang dilakukan sebelum ini.
Anita (bukan nama sebenar), 35, berkata dia kini mampu membuat kuih termasuk karipap, akok dan kuih talam di samping pelbagai jenis biskut dan kek untuk hari raya.
“Selama menjalani tahanan, saya berjaya mendapat sijil vokasional tahap dua dalam bidang masakan dan apabila bebas saya bercadang membuat kuih dan biskut untuk jualan bagi menampung kehidupan bersama empat orang anak yang masih remaja.
“Seorang rakan yang kini mengusahakan perusahaan kek lapis Sarawak menjadi idola kami untuk menjalani hari tua bersama anak-anak dengan lebih sempurna dan melupakan kisah hitam kerana terbabit dengan jenayah,” katanya yang ditahan kerana memiliki dan positif dadah.
Nani (bukan nama sebenar), 35, pula berkata penjara menjadikannya lebih berkeyakinan dan tenang untuk menghadapi masa depan.
“Saya sudah boleh bersolat dengan bacaan serta tartil lebih sempurna dan sembahyang lima waktu berjemaah mengikut masa ditetapkan.. dahulu sebelum saya menghuni tempat ini, saya jahil dalam mengerjakan suruhan Allah.
“Di sini, saya diajar membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan betul dan sepanjang tempoh 15 tahun menjalani hukuman, saya boleh mengajar rakan-rakan lain membaca al-Quran,” katanya yang menjalani hukuman kerana membunuh tanpa sengaja.
Sementara itu, Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, banduan wanita yang menjalani tempoh tahanan melebihi satu tahun melalui empat fasa pemulihan dengan dua daripadanya mendalami bidang agama dan kelas kemahiran diri, masakan dan jahitan.
Katanya, pada fasa pertama, banduan menjalani sesi kaunseling untuk membiasakan diri dengan suasana dan berkenalan dengan rakan-rakan baharu selama dua minggu.
Menurut beliau, setiap banduan yang menjalani pengajian masakan, kimpalan dan perabot diberikan sijil tahap dua vokasional dan boleh menggunakan sijil berkenaan untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
“Sejak memulakan kelas masakan membuat kek lapis lima tahun lalu, Penjara Pengkalan Chepa berjaya melahirkan seorang pengusaha kek lapis di Pasir Puteh dan kini tempahan diterima cukup memberangsangkan.
“Kami juga masih memberikan khidmat nasihat kepada pengusaha terbabit supaya dia mampu mendepani semua cabaran semasa,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Sama seperti penjara lain, Penjara Pengkalan Chepa juga diberikan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dipenuhi sama ada dalam kalangan banduan lelaki mahupun wanita, iaitu bagi tahun 2020, mereka perlu melahirkan 90 banduan yang mendapat sijil kemahiran vokasional Tahap II.
“Kita mampu melahirkan lebih daripada itu, tetapi bengkel yang digunakan hanya mampu menampung 50 banduan dalam satu-satu masa,” katanya. – Bernama