
KUCHING: Seorang peniaga wanita didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menjual dan memiliki produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM), dua tahun lepas.
Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap Kho Shin Ru, 32, dengan denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua, Kho dikenakan denda RM8,000 atau penjara tiga bulan jika gagal menjelaskannya.
Mengikut pertuduhan pertama, Kho didakwa menjual sekotak produk kesihatan tidak berdaftar dari China pada 10.40 pagi, 31 Okt 2023 di sebuah premis perniagaan di Jalan Green di sini.
Bagi pertuduhan kedua, Kho didapati memiliki tiga jenis produk kesihatan tidak berdaftar dengan jumlah keseluruhan 256 kotak di lokasi dan masa yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama.
Bagi kesalahan seterusnya, hukuman boleh meningkat kepada denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 12(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Logavinod Nakaswaram, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh membayar keseluruhan denda yang dikenakan. – Bernama