SIBU: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong digesa memberi mandat kepada calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)-Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong berkata, bahawa beliau adalah satu-satunya wakil yang dicadangkan oleh SUPP Dudong dan parti pusat untuk menjadi calon dari SUPP bagi bertanding di kawasan itu.
Oleh itu, beliau telah berjanji akan membawa pembangunan di sekitar kawasan Dudong sekiranya berjaya memenangi kerusi berkenaan.
“Saya berjanji akan memperuntukkan RM2 juta setiap tahun untuk semua rumah panjang bagi tujuan membaiki rumah yang lama menerusi dana sebanyak RM7 juta dari Kerajaan Sarawak setiap tahun.
“Saya juga akan mengagihkan RM500 hingga RM1000 untuk setiap pintu pada setiap tahun. Ini adalah janji saya. Saya bersumpah akan menunaikan janji janji tersebut.
“Sekiranya dana Transformasi Luar Bandar (RTP) tidak mencukupi, saya akan membantu rumah panjang untuk memohon pinjaman rumah panjang dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat Kelulusan Permohonan Pinjaman Bahan-Bahan Binaan Rumah Panjang dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) kepada Rumah Jackson Jelan, Batu 16 Jalan Oya Sibu di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Menurutnya, sejak mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Dr. Soon Choon Teck bersara pada 2011, kawasan Dudong tidak dijaga dengan baik oleh penggantinya.
“Saya yang ditemani oleh pemimpin masyarakat di kawasan Dudong telah mengunjungi banyak rumah panjang bermula dari Salim ke Naman, Batu Wong, Ulu Sungai Sengan dan Ulu Sungai Menyan.
“Semasa kunjungan itu, saya dapati terdapat banyak masalah seperti tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air, jalan dalam keadaan yang sangat teruk, rumah panjang yang sangat lama yang mana banyak perlu diperbaiki, kawasan terlalu rendah dan dinaiki air di Batu 10 hingga ke Batu 14, Jalan KJD.
“Ramai daripada mereka datang kepada saya untuk meminta bantuan. Saya sangat gembira dapat membantu anda semua. Tetapi, saya bukan wakil rakyat Dudong dan atas sebab itu bantuan saya amat terhad.
“Jawapan untuk menyelesaikan semua masalah ini adalah mempunyai ADUN di Dudong yang semestinya dari SUPP-GPS,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, Penasihat SUPP Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck dan Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Kelvin Kong.
Oleh Nurzilla Mohamad