Penggodam lancar serangan besar-besaran terhadap sistem komputer cukai Perancis

Facebook
WhatsApp
GAMBAR fail ini menunjukkan logo Kewangan Awam di Tourcoing, utara Perancis pada 13 Mei 2014. Pihak berkuasa kewangan awam Perancis, Direktorat Agung Kewangan Awam (DGFiP), mengumumkan pada 14 Ogos 2026 bahawa sebanyak 678,000 pengguna terjejas akibat serangan siber baru-baru ini terhadap laman web pihak berkuasa cukai Perancis, impots.gouv. Foto AFP

PARIS, Perancis: Penggodam mencuri maklumat pendapatan ratusan ribu individu dan syarikat daripada sistem komputer cukai serta pendaftaran tanah Perancis, menurut pihak berkuasa.

Direktorat Agung Kewangan Awam (DGFiP) berkata, dua serangan siber berasingan berlaku terhadap sistem komputernya pada Jun dan Julai.

Sebuah kumpulan penggodam sebelum ini mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

DGFiP berkata maklumat sekurang-kurangnya 678,000 individu dan akaun profesional dicuri dalam serangan pertama pada Jun, termasuk nama, “maklumat

pendapatan rujukan” dan kadar cukai yang dibayar.

Pihak berkuasa berkata kecurian data kedua pada Julai membabitkan maklumat mengenai 200,000 akaun pendaftaran tanah.

Kumpulan yang dikenali sebagai “Zerobytes”, yang sebelum ini mendakwa melancarkan serangan berkenaan, berkata mereka memperoleh maklumat daripada 250,000 akaun pendaftaran tanah, membabitkan kira-kira dua juta pemilik tanah dan hartanah.

Kecurian itu didakwa dilakukan oleh Zerobytes menerusi forum di web gelap. Kumpulan berkenaan dikaitkan dengan beberapa serangan siber terhadap sistem komputer kerajaan Perancis sebelum ini.

Penjenayah siber itu mendakwa mereka mempunyai akses kepada rangkaian persendirian maya (VPN) yang digunakan oleh pegawai cukai.

Menurut pakar, Perancis merupakan antara negara yang paling banyak menjadi sasaran penjenayah siber.

Pada April, agensi ANTS yang mengendalikan permohonan dokumen pengenalan diri menjadi sasaran serangan besar-besaran yang menjejaskan data hampir 12 juta individu dan golongan profesional.

Pada Februari, Kementerian Kewangan berkata serangan berskala besar terhadap sistem komputernya mengakibatkan maklumat 1.2 juta akaun bank dicuri. – AFP